Sabtu, 1 Februari 2014

Pembabitan Mahathir jatuhkan Najib bukan perkara pelik

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM: Pembabitan Tun Mahathir Mohamed dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak bukan sesuatu yang menghairankan kerana sejarah membuktikan perkara sama pernah berlaku ketika era bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata tindakan menjatuhkan pemimpin yang tidak sebulu dengannya adalah perkara biasa bagi Mahathir, bahkan membuat penafian juga sudah sebati dalam gerak kerja politiknya selama ini.

Beliau berkata, perkara sama turut menimpa beberapa bekas pemimpin terkemuka Umno sebelum ini antaranya Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas disingkirkan Mahathir.

812shahbudin_new-buku_penulis“Ketika hubungan tidak mesranya dengan Musa dihidu ramai pada awal 1980-an dulu, Mahathir beberapa kali menafikannya, bahkan beliau juga kerap menunjukkan sifat mesranya di depan umum dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Begitu juga dengan Anwar apabila beliau sering menafikan hubungan renggang mereka dan berulang kali menegaskan Anwar adalah penggantinya,bahkan sehari sebelum pemecatan Anwar ,pada 2 September 1998, beliau sekali lagi menafikan hubungan mereka bermasalah.

“Namun ,akhirnya Anwar bukan saja dipecat, bahkan juga dimalu, diaibkan dan dihantar ke penjara seperti tidak pernah bersahabat baik serta duduk makan semeja sebelum itu. Tetapi itulah Mahathir, apa yang dinafikan selalu yang dilakukannya,” katanya di dalam blog.

Shahbudin berkata, gerakan untuk menggulingkan Najib yang dikaitkan dengan Mahathir bukan lagi rahsia Umno berikutan beberapa blogger pro-bekas Perdana Menteri Malaysia keempat itu semakin giat meningkatkan serangan dan kritikan terhadap Najib.

Beliau berkata, desakan supaya Najib segera berundur daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri adalah bagi mengelakkan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Dr.-Mahathir-Mohamed

Katanya, selain Datuk A Kadir Jasin; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin juga secara terbuka mengkritik kelemahan Najib, sambil mengingatkan bahawa BN akan tumbang jika pilihan raya akan datang diadakan dalam suasana seperti yang ada kini.

“Kritikan terbuka Daim segera dikaitkan dengan Mahathir berikutan mereka mempunyai hubungan rapat yang kekal sehingga ke hari ini dan dikatakan selalu bertemu untuk berbincang berkenaan isu politik semasa.

“Walaupun menafikan berada di belakang gerakan mahu menjatuhkan Najib, beliau pada masa sama mulai kritis terhadap Najib dengan mengkritik sikap bermewah kerajaan dan menyokong kenyataan Daim dengan menyatakan pandangan bekas Menteri Kewangan itu ada asas dan kebenarannya.

“Mahathir juga seperti menyindir Perdana Menteri bahawa pemimpin sekarang lebih mengutamakan mencari kekayaan berbanding memberi khidmat kepada rakyat. Siapa pemimpin sekarang yang ghairah mencari kekayaan kalau bukan Najib dan keluarganya?” katanya.-NFN-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.