KUALA LUMPUR: DAP mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyimbah cat merah di hadapan pejabat laman Malaysiakini pagi tadi – yang hampir serupa dengan insiden yang menimpa pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok minggu lalu.
Turut ditinggalkan ialah seekor itik yang diletakkan dalam sebuah kotak, tiga keping gambar Teresa dan sejumlah jarum bercat merah.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, beliau kecewa dengan kejadian itu yang seolah-olah menggambarkan tindakan tidak bertamadun seumpama itu adalah satu kebiasaan.
“Keadaan sekarang tunjukkan tindakan melempar cat dan haiwan ini adalah satu kebiasaan. Ini tidak seharusnya berlaku dalam politik negara. Mana-mana pihak tidak patut hidup dalam kebimbangan hal sebegini akan berlaku kepada mereka,” katanya dalam sidang media di pejabat Malaysiakini di Bangsar Utama.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa akan melaksanakan tugas mereka untuk menghentikan insiden seperti ini yang dilihat semakin menjadi-jadi.
Kejadian itu disyaki berlaku awal pagi tadi, dan dikesan Editor Grafik, Azlan Zamhari yang tiba pada jam 6.15 pagi.
Laporan dibuat di Balai Polis Jalan Travers pada jam 10.40 pagi. Unit Forensik PDRM turut mengambil jarum, gambar Teresa dan itik tersebut untuk siasatan lanjut.
Insiden sama turut berlaku kepada Teresa 19 Februari lalu, apabila cat merah turut disimbah dan bangkai ayam berserta gambarnya ditinggalkan di tangga menuju pejabat pusat khidmatnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng tidak menolak kemungkinan gambar Teresa disertakan bersama bagi mewujudkan gambaran portal berita alternatif tersebut mempunyai kaitan dengan Pakatan.
“Mereka ingin tunjukkan seolah-olah Malaysiakini bersama-sama Pakatan. Maka, kumpulan ekstremis turut mensasarkan mereka,” katanya.
Turut hadir menyatakan sokongan antaranya adalah Ahli Dewan Undangan DAP Kinrara, Ng Sze Han, serta dua Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan N Surendran.
Di mana golongan liberal dalam Kerajaan?
Dalam pada itu, Tony turut mempersoalkan golongan yang kononnya liberal dan terbuka dalam kerajaan, yang sehingga kini tidak bersuara mengutuk provokasi seperti itu.
“Di mana suara mereka yang kononnya liberal ini? Pemimpin seperti Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), dan Datuk Paul Low (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) – di mana suara mereka?”
“Adakah mereka terima arahan daripada atas untuk tidak berkata apa-apa?” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.