Ahad, 23 Februari 2014

Liow: Terpulang Kepada PM Tentukan Jumlah Kerusi Kabinet

MSTAR ONLINE


Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (empat, kiri) bersama barisan kepimpinan MCA pada sidang media mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA sempena sambutan ulangtahun ke-65 parti itu di Wisma MCA di Kuala Lumpur pada Ahad. -fotoBERNAMA
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan tarikh dan jumlah kerusi Kabinet yang akan diberikan kepada MCA.

Menurut beliau, MCA kini bersedia untuk kembali menyertai Kabinet selepas perwakilan parti itu meluluskan resolusi untuk menerima jawatan dalam kerajaan di semua peringkat.

Liow berkata demikian bagi menjawab soalan wakil media mengenai sama ada parti itu berhasrat untuk mengekalkan empat jawatan menteri yang diberikan kepada mereka sebelum ini.

Tambah Liow, beliau berterima kasih kepada perwakilan pusat kerana memberi mandat tersebut yang akan menjadi perangsang kepada kepimpinan baru parti itu dalam usaha melakukan transformasi.

Keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA menyaksikan hampir semua 1,982 anggota perwakilan pusat, yang menghadiri mesyuarat itu di Wisma MCA, mengundi dengan cara mengangkat tangan.

Daripada jumlah itu, hanya lima orang yang membantah usul resolusi untuk menerima jawatan kerajaan di semua peringkat, manakala empat lagi enggan mengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.