LENGGONG - Seorang remaja ditemui mati lemas di Lata Kekabu, di sini, petang semalam ketika dia dan beberapa rakannya sedang bermandi-manda di kawasan tersebut.
Mayat mangsa, Muhammad Safwan Kamarul Zaman, 18, dari Putrajaya ditemui di kawasan itu oleh anggota Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada jam 6.02 petang.
Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa dikatakan cuba untuk menguji kedalaman air di kawasan itu sebelum terus tenggelam.
“Semasa itu, dia kata nak tengok air di kawasan itu dalam atau tidak. Bila dia turun, dia terus tenggelam dan tidak timbul-timbul lagi.
“Bila lihat dia mungkin lemas, kami segera menghubungi anggota bomba dan JPAM untuk bantu kami mencari mangsa,” katanya.
Anggota JPAM Kuala Kangsar yang kebetulan berada hampir dengan kawasan tersebut segera ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pada kira-kira jam 4.30 petang.
Anggota JPAM, Ahmad Salihim Razali berkata, ketika tiba di situ, mayat masih belum ditemui dan beliau serta anggota JPAM lain membantu bomba mencari mangsa.
“Mayat mangsa dijumpai kira-kira jam 6.02 petang dibawa ke Hospital Kuala Kangsar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrom mengesahkan menerima laporan kejadian.
Menurutnya, tiada unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu dan jenazah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.