Selasa, 25 Februari 2014

Kes WWW1: Nizar menang saman terhadap TV3

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menang saman fitnah terhadap stesen televisyen TV3 berhubung isu nombor pendaftaran kereta WWW1 milik Sultan Johor.

Menurut laporan The Malaysian Insider, tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Mohamad Arif Yusof ketika membenarkan rayuan Nizar berkata, plaintif berjaya membuktikan kes kebarangkalian yang seimbang.

"Perintah Mahkamah Tinggi adalah dengan ini diketepikan dan kes ini akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi bagi penaksiran ganti rugi," katanya.

Arif berkata, keputusan dibuat Mahkamah Tinggi yang menolak saman Nizar tidak boleh dikekalkan dan TV3 bertanggungjawab.

Beliau berkata, pembelaan justifikasi TV3 gagal dan stesen TV itu tidak berjaya membuktikan kebenaran atau sebahagian kebenaran dalam laporan mereka.

"Malah, ada niat jahat oleh defendan dalam laporan mereka," katanya.

TV3 juga diperintahkan membayar RM30,000 kos mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.