Ahad, 23 Februari 2014

Kerja pembinaan terowong MRT undang keresahan

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembinaan terowong bawah tanah bagi projek Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT) yang sudah 30 peratus siap mengundang keprihatinan badan bukan kerajaan (NGO), MRT Watch.

Dalam satu kenyataan media, kumpulan tersebut menimbulkan kekhuatiran pengguna pengangkutan awam, pekerja dan penduduk sekitar berhubung cadangan pembinaan terowong yang bakal menghubungkan stesen MRT KL Sentral ke MRT Muzium Negara.

“Populasi yang bakal terjejas dengan projek ini adalah kira- kira 150,000 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang melibatkan pelbagai aktiviti bisnes seperti perhotelan, apartmen, pejabat dan sistem pengangkutan awam yang berpusat di KL Sentral,” kenyataan media itu dipetik.

Cadangan pembinaan terowong itu dikhuatiri akan menjejaskan struktur KL Sentral kerana ia melibatkan pemotongan bim (pier) dan penerobosan firewall di bawah bangunan tersebut.

Menurut MRT Watch, buat masa ini terowong sepanjang 61 meter berjaya dikorek bagi menghubungkan Stesen Pasar Rakyat ke Stesen Cocharane, manakala sepanjang 10 meter dikorek pada kedalaman lebih 30 meter di bawah tanah untuk fasa Stesen Semantan ke Stesen KL Sentral.

Anggota kumpulan NGO itu telah melakukan tinjauan dan mendapati orang ramai yang bekerja dan menggunakan pengangkutan awam di KL Sentral tidak bersetuju jika pihak pemaju ingin meneruskan projek yang dilihat berisiko ini.

Pekerja swasta, Asmat Fikri, 26, berkata, komuter, LRT dan monorel di KL Sentral adalah pengangkutan utama yang digunakan sepanjang masa untuk ke pejabat.

“Saya menetap di Bangi dan bekerja di Bukit Bintang, saya adalah pengguna tetap  pengangkutan awam yang terdapat di sini.

“Saya khuathir akan aspek keselamatan pembinaan terowong bawah tanah ini kerana ia mungkin akan mendatangkan kesukaran kepada pengguna seperti saya. Contohnya, jika berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini atau kecelakaan semasa operasi pembinaan bukankah ia akan mendatangkan bahaya kepada semua pengguna di sini.

“Saya menyokong segala idea kerajaan untuk mengurangkan masalah lalu lintas di ibu kota dan pembangunan seperti pembinaan MRT tetapi tolong jangan letakkan rakyat di tempat yang boleh mendatangkan kemudaratan,” keluh beliau.

Bagi Mirrah Aziz, 28, beliau tidak menyokong idea pembinaan stesen MRT bawah tanah kerana terlalu banyak komplikasi yang akan timbul seperti risiko keselamatan, ketidakselesaan dan aktiviti bisnes seharian turut terjejas.

“Saya tidak sokong dengan projek pembinaan ini, kerana banyak masalah boleh timbul, malah nyawa kami di atas ini umpama telur di hujung tanduk.

“Kita tak tahu apa yang akan berlaku di bawah sana, bayangkan jika berlaku letupan atau runtuhan, selain daripada pekerja di tapak projek, kita di atas ini pun akan terkena tempias sekali.

“Saya setuju dengan pembinaan stesen MRT ini tapi jangan bina di bawah, bahaya sebab terlalu banyak manusia yang ada di sini, cuba buat di luar.

“Selain itu, operasi bisnes di hotel ini juga akan terganggu, kerana bunyi bising dan gegaran. Pelanggan kami terdiri daripada golongan atasan dan pertengahan jadi ini akan mendatangkan ketidakselesaan kepada mereka,” katanya yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun dalam bidang perhotelan.

Jika projek ini diteruskan kerja pembinaan itu dijangka mengambil masa tiga tahun dan kos pembinaan akan menelan belanja kira-kira RM 350 juta.

Kerajaan telah memberhentikan cadangan projek ini buat seketika akibat isu-isu keselamatan dan juga kos pembinaan yang terlalu tinggi.

Projek MRT dimiliki oleh MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang diperbadankan.

Pembinaan MRT yang dijangka menelan belanja RM50 bilion adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Rel Lembah Klang; salah satu komponen Pelan Induk Pembangunan Lembah Klang.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diberi kuasa sebagai agensi penyelia projek MRT.

“Persoalannya di sini adakah pihak pemaju iaitu MRT Corp serta Gamuda selaku Project Delivery Partner (PDP) dan kerajaan sanggup mengambil risiko yang membabitkan keselamatan nyawa hampir 150,000 orang semata-mata mahu membina projek mega untuk kelihatan gah di mata dunia.

“Berdepan dengan satu lagi projek mega, amat wajar bagi semua, khususnya pemimpin negara supaya meneliti segala teguran tajam dan peringatan berguna rakyat. Kita tidak mahu disebabkan telalu mengejar kemodenan nyawa rakyat sanggup dikorbankan,” ujar MRT Watch.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.