Sejak nama jaguh badminton negara, Lee Chong Wei diusulkan oleh Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainal Abidin sebagai calon BN mewakili MCA bagi pilihanraya kecil DUN Kajang bagi berhadapan dengan Anwar Ibrahim, ramai daripada kelompok pro BN menunjukkan persetujuan terhadap idea itu. Dengan popularitinya sebagai ahli sukan kesayangan negara serta pemain badminton nombor satu dunia, ramai yang percaya ianya adalah suatu kelebihan yang cukup berbaloi bagi berhadapan dengan Anwar Ibrahim.
Sudah ada juga yang menyatakan Anwar pasti kecundang jika lawannya adalah Lee Chong Wei atas kepercayaan populariti dan jutaan peminatnya yang sentiasa memujanya adalah juga terjemahan dalam bentuk undi dalam pilihanraya.
Presiden MCA, Liow Tiong Lai sendiri membayangkan nama Lee Chong Wei ada dalam pertimbangannya, sambil menyatakan pihaknya bersikap terbuka dengan kriteria boleh menang atau winnable adalah merupakan perkiraan yang menjadi keutamaan.
Media pro UMNO seperti Utusan dan TV3 juga mulai menjaja dan seolah-olah cuba meyakinkan MCA, BN dan juga Perdana Menteri agar tidak ragu-ragu dalam membuat keputusan memilih Lee Chong Wei atas keyakinan bahawa populariti di kalangan pelbagai kaum mampu memberi kelebihan untuk menandangi serta menewaskan Anwar Ibrahim di Kajang.
Lee Chong Wei pula sehingga ini seakan terkejut apabila namanya turut dikaitkan sebagai calon dan memaklumkan beliau tidak mengetahui atau diberitahu apa-apa mengenai perkara itu.
Semua yang begitu ghairah mahu memilih beliau sebagai calon barangkali tidak menyedari bahawa Lee Chong Wei belum pun bersara sebagai pemain badminton negara dan kiranya bersetuju untuk menjadi calon, beliau tentunya terpaksa menggantung raketnya lebih awal daripada yang dirancangnya sebelum ini. Ini bermakna, negara akan kehilangan pemain badminton kerana tidak mungkin beliau mampu memikul tugas sebagai pemain badminton lagi jika sudah memutuskan untuk terjun ke dunia politik.
Jika itu berlaku, sementara amat sukar untuk menang di Kajang, negara juga akan kehilangan seorang pemain badminton lebih awal daripada yang sepatutnya semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsu mereka yang hanya memikirkan kepentingan sendiri semata-mata.
Selain bermain di pentas politik tidaklah semudah memenangi pertandingin di gelanggang badminton, lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan Anwar Ibrahim yang bakal menjadi MB Selangor dan juga calon Perdana Menteri, dengan bertandingnya Chong Wei dalam pilihanraya juga akan menyebabkan beliau kehilangan sebahagian penyokongnya serta mendedahkannya kepada pelbagai kata nista dan serangan pihak yang menentangnya.
Ini akhirnya akan menjadikan masa depan dan kegemilangan yang dicapainya selama ini akan tercemar dengan teruknya.
Sesungguhnya dengan sedia menjadi calon juga adalah menyundang risiko besar kepada Chong Wei sendiri, tambahan pula bertanding di DUN Kajang dan berlawan dengan Anwar Ibrahim, meskipun dilimpahi populariti dan mempunyai jutaan peminat, hakikatnya peluang beliau untuk menang hanyalah 0.001 peratus sahaja.
Ia bukan bermakna pengundi Kajang tidak mengenang jasa dan pengorbanannya tetapi adalah kerana beliau bertanding mewakili MCA yang sudah ditolak oleh majoriti pengundi Cina sendiri sejak dua pilihanraya umum lalu.
Bahkan dengan senario politik yang sekarang, bukan saja Chong Wei, bahkan jika Perdana Menteri, Najib Razak pun yang bertanding, beliau pasti akan kecundang juga. Memilih dan meletakkan Chong Wei tidak lebih umpama menghantarnya ke "rumah penyembelihan" atau " tali gantung" politik saja layaknya.
Lantaran itu, ketegasan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang tidak sekali-kali akan membenarkan Chong Wei dipilih sebagai calon di DUN Kajang dengan alasan pemain badminton itu adalah harta negara seharusnya dikalungkan pujian. KJ nampaknya sangat sayangkan masa depan dan reputasi gemilang Chong Wei serta mahukan ia kekal dalam sanjungan rakyat sampai bila-bila. Memilih Chong Wei sebagai calon sebenarnya adalah membunuh reputasi dan masa depannya.
Sekiranya benar ingin menghargai jasa dan sumbangan Chong Wei kepada negara selama ini, sebaik saja bersara nanti, beliau sepatutnya dilantik sebagai Senator supaya beliau sekurang-kurangnya boleh bersuara dan memberi idea di peringkat tertinggi mengenai kemajuan sukan negara. Jika tidak cukup dengan itu, selepas dilantik sebagai Senator, Chong Wei juga boleh pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, sebagai orang nombor dua kepada KJ.
Bayangkan betapa bersinarnya Kementerian Belia dan Sukan apabila kementerian itu diterajui oleh KJ dan dibantu oleh Chong Wei.
Itulah sebenarnya cara yang betul untuk menghargai dan membalas jasa Chong Wei selama bertahun-tahun beliau mencurahkan keringatnya mengharumkan nama negara melalui dunia badminton dan bukannya dengan menyediakan "tali gantung" di Kajang sebagai anugerah kepada persaraannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.