Rabu, 26 Februari 2014

Johor penentu kerajaan Pakatan Rakyat di Putrajaya


pakatan rakyat johor pemimpin



KULAIJAYA: Pakatan Rakyat Negeri Johor hari ini menyatakan bahawa parti gabungan itu bersedia menjadikan negeri Johor sebagai negeri utama yang bakal menentukan kerajaan baru di Putrajaya pada PRU ke-14 nanti.

Demikian inti mesyuarat antara pimpinan PR negeri dan pemimpin PR Pusat yang berlangsung di Pejabat Ahli Parlimen Kulai, semalam.

Dalam kenyataan bersama itu, ketiga-tiga pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat negeri dan pusat terdiri daripada PAS, DAP dan PKR bersepakat untuk bersatu hati dan bergerak secara berpasukan sebagai satu entiti untuk memastikan kemenangan di Johor.

Semalam, buat pertama kalinya dalam sejarah Pakatan Rakyat Johor, semua pemimpin PR negeri bermesyuarat bersama pemimpin tertinggi pusat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mereka membincangkan langkah penting yang akan diambil demi memastikan PR Johor mampu membawa perubahan dan seterusnya menjadi pemangkin perubahan politik di peringkat nasional.

Bercakap kepada wartawan pada sidang media, calon DUN Kajang memuji langkah jitu yang diambil PR Johor dengan memantapkan barisan kepimpinan dengan persiapan jentera yang ampuh.

“Rakyat Johor terutamanya di kawasan selatan kini hidup tertekan dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup, saya mengarahkan pemimpin PR negeri untuk fokus kepada isu ekonomi dan kebajikan rakyat,” ujar beliau.

Tuan Guru Abdul Hadi juga turut menjelaskan bahawa tugas PR negeri mestilah juga memfokus untuk mematahkan permainan politik perkauman UMNO-BN.

“Kita tahu rakyat Johor sudah bijak untuk menolak dan tidak lagi mahu terjebak dengan permainan politik perkauman UMNO,” ujar beliau.

Pada PRU-13 lalu, UMNO-BN berikrar menjadikan Johor sifar pembangkang, namun usaha itu meleset apabila rakyat memberi kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat dengan memperoleh lapan belas kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang juga berkata, selama 56 tahun UMNO yang lahir dan berkuasa di Johor, ini kali pertama parti oposisi mendapat mandat yang sangat baik daripada rakyat Johor.

“Sabah, Sarawak dan Johor adalah tiga negeri yang bakal menentukan kerajaan PR di Pusat nanti, justeru itu PR negeri Johor perlu mencari formula khusus untuk merealisasikannya,” tambah Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Ketiga-tiga pemimpin pusat itu juga memeriahkan majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Pejabat Parlimen Kulai. Kira-kira 1,000 tetamu hadir memeriahkan majlis sambutan itu. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.