MSTAR ONLINE
PETALING JAYA: Penyanyi Herman Tino berkata dia hanya akan membatalkan hasratnya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika menolak pencalonannya.
Walaupun akur dengan rayuan isterinya agar tidak meneruskan hasratnya itu, Herman berkata dia masih ingin mendapatkan reaksi pengundi di DUN Kajang.
"Saya masih sedang melihat reaksi penduduk Kajang mengenai hasrat saya ini," katanya.
Beliau mengulas mengenai harapan isterinya, Noraini Ibnu agar membatalkan niatnya bertanding di DUN Kajang pada PRK yang akan diadakan 23 Mac depan.
mStar Online pada Rabu menyiarkan laporan bahawa Noraini yang juga Ketua Unit Penerbitan Radio, RTM berkata, dia tidak bersetuju dengan hasrat Herman memandangkan suaminya itu tidak mempunyai wang untuk bertanding sebaliknya akan dihina dan diketawakan oleh masyarakat.
Mengulas lanjut Herman berkata dia sangat menyayangi Noraini walaupun dia tidak memberi sokongan mengenai pendirian politiknya.
"Saya harap isteri saya akan faham mengapa saya lakukan ini. Ia bukan untuk kepentingan peribadi.
"Saya lakukan demi rakyat yang marahkan cubaan orang luar untuk merampas kedudukan Menteri Besar Selangor," katanya.
Herman adalah antara lima calon yang setakat ini menyatakan minat untuk bertanding di kerusi DUN Kajang yang mana PKR mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka yang lain adalah bekas pemimpin PKR, Datuk Zaid Ibrahim, bekas sekutu Anwar, Datuk S. Nallakaruppan dan peguam Yuktes Vijay.
Barisan Nasional masih belum secara rasmi menamakan calonnya.
Herman sebelum ini bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Tanjung Karang dalam pilihan raya umum ke-13.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.