Sabtu, 1 Februari 2014

Bebal politik si Senah juara karaoke


intelektual-masyarakat-membangun

Oleh Aishah

Mak cik Senah, juara karaoke kampung sebelah pada hari itu dengan bangganya berkata kepada semua orang di kedai runcit bahawa dia tidak suka politik. Baginya politik itu kotor dan apa yang berlaku di Putrajaya atau jalan raya tidak ada kaitan dengan dirinya.

Mak cik Senah meneruskan lagi sambil tawar-menawar harga sayur kangkung yang mahu dibelinya.

Pak cik Bakar bertanya dengan tiba-tiba kepada Mak cik Senah, “kangkung ni dulu naik, sekarang dah turun”. Terbakar dengan kata-kata seperti pemimpin sanjungannya, Mak cik Senah mengatakan, “harga kangkung boleh kasi turun lagi ke Bakar oii, mahal lagi ni”.

“Itu makanan kegemaran kau, apa kena-mengena dengan aku sebagai penjual sayur. Aku pun nak bayar itu ini, dan nak beri makan pakai bini. Ini semua salah Putrajaya. Kos hidup meningkat! Dan kau pun terlibat sebagai rakyat yang membayar cukai dan wajar mendapat perkhidmatan selayaknya.”- sindir Pak Cik Bakar.

“Ah, kau jangan nak berpolitik dengan aku pagi-pagi ni, aku cepat mengamuk”- jawab Senah sebelum membayar dan pulang ke rumahnya.

Di rumahnya, “kau layan lagi ke Pak Bakar tu? Politik bukan boleh beri aku makan!”- marah suaminya yang sering dijuluki orang kampung sebagai Si Leman.

Pertama, mak cik senah mungkin belum sedar bahawa sebaik sahaja dia bangun dari tidur dan berfikir hari itu mahu masak lauk kangkung atau satay adalah sebahagian daripada proses membuat keputusan dan tawar-menawar itu bertujuan mempengaruhi orang lain agar menurut kehendaknya adalah maksud mudah bagi kuasa. Itu sendiri berpolitik. Manusia ialah haiwan politik (political animal).

Kedua, harga kangkung, ayam, garam, gula (makanan) – antara keperluan harian – juga dipengaruhi oleh pembuatan keputusan di peringkat kerajaan maupun desakan orang awam. Ini belum disentuh lagi pendidikan, pengangkutan yang merupakan hak yang perlu dituruti kerajaan dalam berkhidmat (bukan berbudi) kepada warganya.

Senario ini bukanlah sesuatu yang aneh. Terdapat ramai lagi “mak cik Senah” dan “Si Leman” tanpa mengira batas gender di setiap kampung dan bandaraya. Gejala seperti ini mudah didapati dalam mana-mana perbincangan sama ada di warung kopi, hotel-hotel, bilik kuliah, whatsapp group dan sebagainya.

Tidak sedikit yang cuba memonopoli perbincangan tanpa menyiapkan diri dengan dengan hujah atau ilmu sewajarnya. Tidak salah juga untuk menyamakan gejala ini dengan penyakit bebal.

Apakah yang dimaksudkan dengan bebal? Syed Hussein Alatas mengupas bentuk pemikiran bebalisme dengan mendalam dalam Intelektual Masyarakat Membangun antaranya seperti berikut;

Tidak mampu mengenali masalah
Jika diberitahu, dia tidak berupaya menyelesaikannya
Tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan, malah tidak memiliki kemahiran belajar
Tidak boleh menghubung-kaitkan sesuatu dalam konteks ruang dan waktu dan dengan faktor lain
Hanya memberikan tindak balas kepada suasana sementara tetapi tidak memikirkan akibat / perkiraan jangka panjang
Berfikir hanya melalui sebab terhad dan tidak melalui urutan sebab-akibat
Terpenjara dengan tabiat sendiri tanpa berfikir secara kritis tentang asas pemikirannya
Tidak berfikir dengan mendalam
Tidak konsisten
Tidak mempunyai tenaga akal dan hanya menurut apa yang mudah

Ia lebih jelas dalam perdebatan antara ahli politik atau bakal ahli politik yang tidak mampu mencerna isu. Ini merupakan tragedi sekiranya golongan inilah yang merangka dasar kerajaan. Malangnya, tragedi inilah yang sedang menimpa Malaysia. Tidak mustahil dengan adanya ahli politik bebal, isu-isu rakyat tidak dapat ditangani dengan tuntas.

Disebabkan inilah, isu sensasi mengambil tempat dalam pentadbiran negara dan pembuatan dasar. Kesannya, korupsi meningkat, perkhidmatan dan mutu hidup rakyat menurun. Kebiasaannya, mereka yang dijangkiti penyakit oblomovisme ini lebih gemar beretorik daripada bekerja – ini menjadikan itulah tujuan dia dijadikan di dunia.

Harapan kita ialah bukan menternak pemikiran seperti ini ataupun menidakkan kelompok Mak Cik Senah dan Si Leman tetapi menjadikan kelompok ini sedar dan lebih bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka dalam perbuatan dan perbualan kita sehari-hari kerana kematangan itu sebahagian daripada proses yang perlu dijalani. Dan bebal terjadi apabila kita berhenti untuk belajar. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.