KOTA KINABALU - Umno disaman dua anggotanya dari bahagian Kota Marudu supaya membetulkan maklumat peribadi mereka dalam rekodnya yang menyatakan mereka telah meninggal dunia.
Henry Jamry Yakim, 54, dan Jennifer Mongikal, 47, menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga presiden Umno sebagai defendan pertama, setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai defendan kedua dan ketua Umno bahagian Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda @ Mohd Fikri serta setiausaha bahagian itu Emran Maidin masing-masing sebagai defendan ketiga dan keempat.
Ketika ditemui di bangunan mahkamah di sini hari ini selepas sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi, peguam yang mewakili defendan pertama dan kedua Chin Tek Ming berkata anak guamnya serta dua defendan lain akan berusaha mengetepikan saman itu.
Menurut writ saman berkenaan, Henry dan Jennifer mendakwa mereka dipanggil Jabatan Pendaftaran Negara di Kudat pada Ogos tahun lepas untuk mengesahkan status mereka kerana ibu pejabat Umno ingin mendapatkan pengesahan sama ada plaintif masih hidup.
Ini mendorong plaintif membuat carian di ibu pejabat parti itu dan terkejut apabila mendapati rekod menunjukkan mereka telah meninggal dunia dan kedudukan itu menyebabkan mereka tidak dapat menunaikan hak sebagai pengundi atau bertanding dalam pemilihan Umno di peringkat bahagian pada Oktober lepas.
Henry dan Jennifer menuntut bukti bagaimana parti itu boleh menganggap mereka telah meninggal dunia, sedangkan mereka masih hidup, dan penjelasan kenapa mereka tidak ditanya atau kenapa tiada usaha dilakukan untuk memberi penjelasan kepada mereka tentang perkara itu.
Kedua-dua plaintif mendakwa perkara itu menyebabkan mereka mengalami kesulitan serius dan menghalang mereka daripada menyertai atau menunaikan tanggungjawab sebagai anggota Umno, di samping berasa malu dan terhina, hingga menjejaskan kehidupan seharian mereka.
Selain meminta status mereka dalam parti itu diperbetulkan, Henry dan Jennifer juga menuntut defendan menyiarkan melalui akhbar kebangsaan dan tempatan permohonan maaf dan kenyataan bahawa rekod parti itu tentang status mereka adalah tidak betul.
Mereka juga menuntut ganti rugi teladan RM10 juta dan ganti rugi teruk RM10 juta serta hak, kepentingan dan keistimewaan mereka sebagai anggota Umno, dikembalikan.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Steve Litikos menetapkan 26 Februari sebagai tarikh bagi mendengar permohonan plaintif untuk menambah setiausaha kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh sebagai defendan kelima, dan 6 Mac sebagai tarikh untuk mendengar permohonan defendan mengetepikan saman itu.
Henry dan Jennifer diwakili peguam Azman Karim, manakala defendan ketiga dan keempat diwakili peguam Jaafar Estaban. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.