Jumaat, 31 Januari 2014

Tumbangkan BN, bukan mustahil!



Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF


Medan demokrasi meskipun boleh dikatakan amat terbatas di Malaysia dari sudut kefahaman dan amalan, namun begitu undang-undang yang ada amat jelas mengenainya. Saya berpandangan setiap pemain politik dalam negara mesti bersedia memanfaatkan setiap ruang dan peruntukan undang-undang yang ada demi kepentingan rakyat.
 
Mari kita perhati dan renung sejenak beberapa lakaran peristiwa sebaik 2014 membuka tirainya. Bermula dengan himpunan TURUN, seawal detik 12:00 tengah malam, 1 Januari lagi rakyat telah menyuarakan secara sungguh-sungguh peri keperitan kenaikan kos hidup yang dihadapi.

Suara rakyat dalam himpunan turun bukan saja sekadar untuk dirai oleh pimpinan Pakatan Rakyat. lebih dari itu ia perlu diraikan dan diberi perhatian oleh pimpinan Barisan Nasional.

Yang mengalami kenaikan kos hidup bukanlah rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat semata-mata. Bahkan ia dirasai oleh setiap jelata rakyat termasuklah penyokong tegar Barisan Nasional yang luar dan dalam jiwanya dikatakan biru.

Rupa-rupanya kita tak perlu tunggu lama. Belum pun habis bulan pertama 2014, Perdana Menteri secara terus memperakui benarnya himpunan turun dengan melancarkan program turunkan harga di pasaraya di ibu kota. Apakah maknanya ini? Saya fikir apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri tersebut tidak akan sekali-kali mampu menurunkan kos hidup yang mencekik leher rakyat kini.

Kenaikan kos hidup bukanlah sekadar dipengaruhi iklim ekonomi global atau seumpamanya. Yang paling jelas, kegagalan kerajaan Barisan Nasional mengatasi pelbagai ketirisan sebagaimana laporan Ketua Juru Audit Negara suatu yang mesti diperakui oleh setiap pimpinan politik.

Gagalnya pengurusan kerajaan Barisan Nasional bukanlah kegagalan Perdana Menteri seorang diri. Bahkan ia bukanlah salah isteri beliau yang dikatakan sering berbelanja mewah dengan sumber Negara.

Ia adalah tanggungjawab seluruh kabinet Malaysia. ia adalah tanggungjawab seluruh kepimpinan politik negara yang mesti berusaha mencari jalan keluar.

Tanggungjawab bersama “Collective responsibility” adalah suatu penegasan langsung dari Bab 3, Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43. Bersama-sama tanggungjawab bersama ini juga ialah faktor kepercayaan yang disebut “confident” terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Beberapa waktu lepas, Ahli Parlimen Pokok Sena ada menyebutkan tentang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang perlu dikemukakan oleh parlimen Malaysia. Bolehkah kalau setiap pimpinan politik negara melihat cadangan YB Mahfuz Omar ini bukan sebagai berkepentingan untuk Pakatan Rakyat semata-mata? Tidak salah untuk setiap pimpinan politik khususnya ahli-ahli parlimen melihat peruntukan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan undi tidak percaya adalah suatu peruntukan berkepentingan awam.

Sebagaimana hukum talak, undi tidak percaya di Parlimen boleh dijadikan sebagai antara penawar mujarab bagi membendung berlakunya salah urus tadbir negara daripada terus berlarutan. Apakah pula peranan sekalian pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat?

Pilihan Raya Kecil PRK Kajang yang dirangka begitu stratigik adalah ruang terbaik untuk memacu ke arah itu. Sehabis dhaif pastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRK Kajang dengan berlipat kali ganda. PRK Kajang adalah antara benteng maruah Pengerusi Perhubungan Negeri yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Sebagaimana diketahui umum, sistem pilihan raya di Malaysia cukup kritikal. Perlulah kita sedar meskipun Pakatan Rakyat mempunyai undi popular 52%, dengan sistem yang digubal perundangan yang sah pada masa kini, Pakatan Rakyat cukup sukar untuk menang dalam pilihan raya umum pada bila-bila masa.

Justeru tindakan yang cukup mantap dan agresif berlunaskan undang-undang mesti dirangka dan diteruskan. Jika setiap dari kita mengimpikan sebuah negara berdaulat yang benar-benar dapat dinikmati kemakmurannya oleh rakyat, kita sesungguhnya tiada banyak pilihan dan masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.