Rabu, 29 Januari 2014

Siapa yang beruntung jika isu Allah ini memporak perandakan negara?

Dua butir ‘Molotov Cocktails’ telah dilemparkan kedalam kawasan gereja dijalan Farquhar di Pulau Pinang pagi tadi dan ini adalah satu kejadian yang sangat menakutkan kepada siapa yang ada agamanya dan yang menghormati undang-undang serta memahami keadaan hidup dalam negara berbilang kaum dan agama. Telah dikatakan tindakan dua orang diatas motorsikal membaling ‘Molotov cocktails’ ialah kerana rentangan kain digereja yang menggunakan nama Allah itu.

Negara ini seolah-olah sudah tiada undang-undang lagi dan seolah-olah kita tidak ada kerajaan yang memimpin kita lagi. Kita sekarang bukan sahaja tidak ada siapa yang mentadbir kita, rakyat yang ramai pun sudah tidak mengindahkan hidup beragama dan bermasyarakat berbilang kaum. Tiada siapa yang takut dengan undang-undang semata-mata telah dibudayakan dalam kepimpinan kerajaan yang undang-undang itu hanya untuk siapa yang hendak dipersalahkan sahaja.

Siapa yang melakukan kerja hina ini wajar ditahan dan dihadapkan dihadapan pengadilan Mahkamah dengan serta merta kerana kejadian ini boleh merebak dan akan tidak dapat dikawal lagi. Ramai diantara kita tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah. 'Di mana bumi dipijak disitulah langit yang kita junjung'.

Rakyat ada hak untuk hidup aman. Kenapa politik begitu zalim terhadap rakyat kerana isu yang menyebabkan kejadian ini adalah isu politik dan bukannya agama. Ia bukan isu agama kerana Allah itu adalah Tuhan semesta alam dan nama Tuhan ini telah diguna pakai dimana-mana diseluruh dunia ini. Kenapa isu ini menjadi besar dinegara ini pun tiada siapa yang boleh menentukan penyebabnya selain dari isu politik.

Sebelum kita berjuang untuk agama elok masing-masing bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sebenarnya memahami tentang agama yang kita masing-masing anuti sekarang ini. Bagi mereka yang benar beragama dengan sesungguhnya keadaan ini tidak akan berlaku kerana jika masing-masing beragama kita akan hidup dalam keadaan tenang dan sejuk jiwa.

Blog ini pernah mencadangkan supaya dihimpunkan semua alim ulamak fiqh dan tasawuf yang muktabar dari seluruh dunia untuk membantu usaha kita menjaga keamanan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama ini. Jangan pula dianggap tindakan itu merupakan tindakan kuasa luar masuk campur dalam negara kita, kerana agama tidak mempunyai sempadan geografi atau politiknya. Agama itu universal dan jika dilakukan himpunan untuk menyelesaikan masalah ini ia adalah satu tindakan yang proaktif bagi kerajaan hari ini.

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlaku dengan sewenang-wenangnya tanpa tindakan mencegahnya. Diharap tidak ada pihak yang sengajakan membesarkan isu ini untuk digunakan untuk politik sesuatu pihak kerana sejarah negara ini membuktikan yang setengah pihak amat menyukai keadaan ini berlaku untuk menjadikan alasan untuk memperkuatkan kedudukan politik mereka.

Ada pemimpin negara ini yang berkuasa disebabkan keadaan yang tidak menentu dan merbahaya dan keadaan merbahaya ini mungkin sengaja dilakukan untuk tujuan dan matlamat itu. Apa yang berlaku di Pulau Pinang semalam, ‘accountability’ nya wajar diambil tindakan oleh Kementerian dan Menteri yang bertanggungjawab tentang keselamatan negara. Jika ia gagal diselesaikan dengan secepat yang mungkin, Menteri yang bertanggungjawab mesti mengambil ‘accountability’ terhadap apa yang berlaku ini.

Jika Menteri dan Kementerian yang bertanggungjawab tidak mahu mengambil ‘accountability’ ini maka seluruh kerajaan wajar meletakkan jawatan kerana isu ini perlu diambil alih oleh orang lain. Pemimpin itu wajar yang tidak dipersepsikan sebagai pemimpin yang tidak selalu menggunakan sentimen perkauman dan agamanya tanpa hala tuju.

Sementara itu orang ramai yang terkejut dengan kejadian ini berharap pihak Polis akan dapat menjalankan penyiasatan dan membawa pelaku jahat itu kemuka pengadilan secepat yang mungkin.
Kita mahu tahu siapa dalang disebalik kejadian ini. Itu sebabnya saya selalu berkata jika kita dipimpin oleh mereka yang ‘desperate’ untuk mengekalkan kuasa dan berhadapan pula dengan mereka yang ‘desperate’ untuk mengambil alih kuasa itu, pasti akan membawa negara ke kancah yang aib seperti ini.

Mangsanya bukan pihak lain tetapi kita rakyat yang ramai-ramai ini. tetapi akhirnya kita akan tahu juga siapa dan pihak mana yang mendapat keuntungan daripada isu yang sangat sensitif ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.