Oleh : NAEEM RAFFI
SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) ketandusan calon berwibawa mahupun calon boleh menang untuk ditempatkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.
Kebanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Selangor daripada PKR, DAP dan PAS memberikan kenyataan berhubung calon yang boleh dijadikan ‘ayam tambatan’ oleh BN untuk menandingi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
ADUN Taman Medan (PKR), Haniza Talha, berkata senario yang dihadapi kepimpinan BN hari ini sama seperti senario pencarian calon parti itu di Selangor ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.
“Ini antara kesan yang mereka (BN) harus terima. Mereka tidak pernah membuka ruang untuk golongan muda menjadi pelapis. Lihat sahaja PRU-13 lalu, calon BN kebanyakannya lama dan berulang kali diletakkan untuk bertanding.
“Berbeza dengan PR yang mempunyai ramai calon muda dengan pelbagai latar belakang dan kredabiliti yang bagus,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.
Katanya, BN tidak mempunyai pilihan sebaliknya perlu lebih kental mengharungi jalan sukar dalam mencari calon boleh menang mendepani pencabarnya, Anwar.
ADUN Bukit Gasing (DAP), Rajiv Rishyakaran, berkata BN sememangnya tidak mendapat tempat di kawasan bandar khususnya Selangor.
Beliau berkata, kepercayaan dan keyakinan rakyat hari ini semakin menjalar hebat kepada PR, sekali gus menolak kepimpinan BN.
“Bukan BN tidak mempunyai calon. Persoalannya adakah rakyat khususnya di wilayah bandar masih menaruh keyakinan menggunung dan percaya kepada kepimpinan BN.
“Kita sedia maklum, ramai calon BN yang dahulunya bertanding di kawasan bandar, lari ke luar bandar dan kampung kerana mereka sendiri sedar bahawa sambutan rakyat terhadap BN hambar,” katanya.
Sementara itu, ADUN Paya Jaras (PAS), Khairuddin Othman mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menjadi calon di PRK DUN Kajang jika pencarian calon di kalangan BN menemui jalan buntu.
“Kalau Najib berani, apa salahnya mencuba nasib di Kajang. Ia mungkin lucu tetapi tidak mustahil jika beliau (Najib) benar-benar berani untuk bertembung satu lawan satu dengan Anwar.
“Mungkin peluang yang sama boleh dipertimbangkan (Datuk Seri) Noh Omar. Mana tahu beliau mahu mengukur adakah masih mempunyai pengaruh di Selangor,” katanya.-NFN-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.