Isnin, 27 Januari 2014

Polis pantau harga barang: Kawalan ekonomi ala Nazi, kata DAP


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

 

Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja gagal mentadbir ekonomi dengan baik sehingga menyebabkan hutang negara melonjak tinggi tetapi turut menmpergunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal harga barang di pasaran, kata DAP.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim (gambar) berkata, kerajaan pusat menggunakan taktik ekonomi perang rejim Nazi dengan menggunakan polis bagi mengawal harga barang di pasaran yang jelas tersasar daripada misi penubuhan PDRM.

“Adakah rancangan menggunakan PDRM memantau harga barang satu permulaan kepada ekonomi kawalan ala-Nazi ataupun komunis zaman Perang Dingin?

“Kerajaan Umno-BN gagal mentadbir ekonomi dengan baik menyebabkan pendapatan rakyat terbantut, kos sara hidup meningkat dan budaya rasuah berleluasa tidak dapat ditangani,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada Sabtu polis akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau harga barang keperluan khususnya makanan di pasar borong dan premis perniagaan.

Katanya, PDRM akan membantu menangani tindakan peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya dengan menghantar anggota polis berpakaian biasa dan berlakon sebagai pelanggan untuk memantau harga barang serta mengambil tindakan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.

Sim berkata dengan arahan Ahmad Zahid itu, imej, maruah dan profesionalisme anggota polis jelas tergugat disebabkan oleh tindakan menteri yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, sebelum ini Ahmad Zahid pernah mengarahkan polis menjaga kertas undi dan peti undi semasa pemilihan Majlis Tertinggi Umno pada tahun lepas dan kini anggota polis juga dikerah memantau harga barang di pasaran.

“Ini jelas sudah tersasar dari misi PDRM yang termaktub dalam Akta Polis 1967 seksyen 3(3) iaitu memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekal keamanan dan keselamatan, mencegah dan mengesan jenayah, menangkap dan mendakwa pesalah serta mengumpul risikan keselamatan,” katanya.

Sim berkata langkah kerajaan mengunakan polis bagi memantau harga barang di pasaran hanya akan memberi tekanan kepada peniaga terutamanya peniaga kecil manakala syarikat besar bebas mengaut keuntungan.

Katanya, syarikat yang memonopoli perkhidmatan dan barangan dalam negara seperti pembekal tenaga elektrik bebas (IPP), penerbangan, tol, gula, makanan asas, gas dan petrol, sistem perbankan, televisyen satelit dan lain-lain bebas mengaut keuntungan.

“Ini jelas ini bukan strategi ekonomi yang bijak mahupun adil. Peniaga kecil ditekan manakala syarikat monopoli berleluasa,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.