KAJANG - [VIDEO] PKR memilih Isnin depan bagi menjelaskan kepada pengundi-pengundi di Dun ini berhubung keperluan mengadakan pilihan raya kecil ekoran peletakan jawatan wakil rakyatnya baru-baru ini.
Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu diambil ekoran parti itu bertanggungjawab untuk menerangkan situasi sebenar kepada pengundi.
"3 Februari ini, cadangan kita untuk mengadakan satu program besar bagi menerangkan pada pengundi.
"Sebab Datuk Seri Anwar dan pimpinan PKR khususnya bersama PR bertanggungjawab untuk menerangkan kepada pengundi-pengundi, kenapa kita bermuafakat untuk mengadakan PRK ini. Ini tanggungjawab kita," katanya ketika ditemui, hari ini.
Penjelasan itu juga katanya bagi mengelak daripada berlakunya pelbagai salah faham dan persepsi di kalangan rakyat di seluruh negara.
"Kami sedang mengenalpasti tempat paling sesuai untuk mengadakan perjumpaan itu. Supaya tidak timbul salah faham.
"Bukan saja kepada pengundi tapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Sebelum ini, penganalisis politik Dr Maszlee Malik menyifatkan PKR terlalu sering berdalih mengenai masalah dalaman parti itu dan sudah tiba masanya parti itu mengambil sikap telus dan menjelaskan kepada rakyat.
Menurutnya, selagi PKR tidak bersikap telus, persepsi negatif rakyat terhadap parti itu akan terus menebal.
Pendapatnya itu turut dikongsikan ramai pemerhati politik termasuk NGO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.