Ahad, 26 Januari 2014

PKFZ: Tubuh Suruhanjaya Siasatan, AG letak jawatan

Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan kes melibatkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) setelah peguam negara didakwa gagal membawakan kes tersebut ke mahkamah baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, penubuhan suruhanjaya itu penting supaya isu melibatkan penyelewengan terbesar  itu dapat dipertanggungjawabkan kepada seseorang.

sim tze tzim“Ini isu ketelusan dalam tatakelola, isu berhubung wang rakyat yang telah dilesapkan.

“Jadi satu suruhanjaya perlu ditubuhkan bagi menjalankan siasatan berhubung skandal tersebut supaya keadilan bagi 29 juta rakyat Malaysia dapat dicapai.

“Rakyat mahu tahu siapa yang terlibat melesapkan wang rakyat itu, pihak yang bertanggung jawab dalam skandal bernilai RM12.5 bilion itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan dipertanggungjawabkan,” tegas beliau.

Ketika ditanya berhubung dakwaan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail gagal menyediakan bukti dan asas yang kuat bagi membawa kes tersebut ke mahkamah, Sim mendesak Gani bertanggungjawab dan melepaskan jawatannya.

“Kita lihat banyak kes melibatkan kepentingan negara gagal dibawa dengan baik oleh Peguam Negara, seperti kes melibatkan Pulau Batu Putih dan kes melibatkan PKFZ ini sendiri.

“Sebagai contoh,  di luar negara, apabila seseorang Peguam Negara itu gagal membawa sesuatu kes melibatkan kepentingan negara, dia akan melepaskan jawatannya, jadi Ghani perlu ambil tanggungjawab serupa,” tegas Sim lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.