Selasa, 28 Januari 2014

Perkasa: Wujudkan undang-undang larang calon terlibat proses mahkamah tanding pilihan raya

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini menggesa kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang bagi menghalang calon yang masih menghadapi tuduhan di mahkamah bertanding dalam pilihan raya.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata jika seseorang calon itu didapati bersalah oleh mahkamah, satu pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan dan ia merupakan satu pembaziran dan penghinaan kepada rakyat.

“Memang seseorang tidak bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman tetapi jika akhirnya pihak terlibat didapati bersalah yang menyebabkan gugur status ahli dewan, maka PRK terpaksa diadakan dan ia merupakan satu pembaziran kepada wang rakyat.

“Rakyat sesebuah negeri tentu berasa malu apabila pemimpinnya sedang didakwa, apatah lagi jika kes jenayah besar seperti rasuah, liwat dan juga merupakan bekas banduan yang bertahun ditahan di penjara,” katanya dalam satu pesanan ringkas.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan keputusannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang setelah penyandangnya Lee Chin Cheh menghantar notis untuk mengundur diri sebagai Adun semalam.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan 11 Februari bagi mendengar semula rayuan Anwar menolak peguam Umno Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan bagi menyemak semula keputusan pembebasan Anwar dalam tuduhan liwat kedua.

Anwar, 66, dijangka akan hadir ke mahkamah sewaktu kempen pilihan raya DUN Kajang sedang berlangsung.

Ibrahim berkata jika pihak yang masih menghadapi pertuduhan di mahkamah diangkat sebagai calon, ia melambangkan sesebuah parti itu sudah tidak mempunyai calon lain yang lebih layak.

“Lebih-lebih lagi kalau salahguna kuasa, lengahkan bicara dan macam-macam hal. Ianya juga menggambarkan macam tidak ada orang lain yang layak.

“Ini satu penghinaan moral kepada rakyat. Maka wajar satu akta yang terperinci mesti diwujudkan dengan mengambil kira semua aspek dalam hal perjawatan,” katanya yang kini berada di Mekah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.