Khamis, 2 Januari 2014

Peniaga parah ditembak dari jarak dekat

HARAKAHDAILY


KULIM: Seorang peniaga perkakasan rumah cedera parah terkena tembakan dengan pistol dari jarak dekat ketika sedang minum di sebuah restoran di Taman Kempas Indah, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan restoran tersebut dan seorang daripada mereka melepaskan beberapa das tembakan.

"Tembakan itu mengenai badan mangsa yang berumur 46 tahun dari Taman Jati di sini. Keadaan lelaki itu dilaporkan stabil setelah diberi rawatan di Hospital Kulim," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata peniaga itu yang menjalankan perniagaan di Taman Kempas sempat lari sejauh 40 meter untuk menyelamatkan diri selepas ditembak sebelum terjatuh manakala penyerangnya memecut motosikal dan melarikan diri.

Peniaga itu bernasib baik orang ramai berhampiran tempat kejadian membantunya dan menghubungi polis untuk dihantar ke Hospital Kulim,  kata Ghuzlan.

Katanya polis yang menyiasat kejadian itu menjumpai lima kelongsong peluru pistol di kawasan restoran tersebut. Polis mengesyaki serangan itu bermotifkan dendam. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.