Khamis, 30 Januari 2014

Pasukan Petugas Khas Operasi/Anti Pengganas Bukit Aman Dibubar - KPNM

STAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Bukit Aman dibubarkan berkuatkuasa 1 Februari depan dan tugas-tugasnya akan diletakkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Cawangan Khas.

Pasukan tersebut ditubuhkan pada 1 Mac 2009 dengan tugas memerangi serta membendung ancaman berkaitan keganasan, jenayah terancang dan penggubahan wang haram, di samping menangani ancaman militan dan pengganas dari dalam dan luar negara.

Mengumumkan demikian, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tanggungjawab pasukan itu merangkumi tugas penyiasatan kewangan sebagaimana di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

"(Dengan pembubaran ini) Peranan dan tanggungjawab pasukan ini berhubung isu pengganas dan berkaitan akan diletakkan di bawah Cawangan Khas Bukit Aman; manakala hal berkaitan penyiasatan kewangan atau AMLA diletakkan di bawah JSJK.

"Dengan pembubaran ini ia tidak bermakna isu itu (kes berkaitan pengganas)tidak penting, kita hanya membuat penyusunan semula peranan dan tanggungjawab pegawai dan anggota di bawah jabatan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis serah/terima tugas Pengarah JSJK Datuk Seri Syed Ismail Syed Azizan yang bersara wajib kepada Timbalan Pengarah 1 JSJK Datuk Tajudin Isa yang memangku jawatan itu.

Sementara itu, pada majlis serah terima tugas itu, jawatan Pengarah JSJK akan diambil alih secara rasmi oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia Datuk Mortadza Nazarene dalam masa terdekat ini.

Khalid berkata jawatan Pengarah Pengurusan akan diambil alih oleh Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Haron. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.