PERDANA Menteri, Dato’ Seri Najib Razak seperti ‘pekak badak’ kerana masih berlagak seperti tiada apa yang berlaku dalam negara ini. Daripada isu agama, bangsa, perkauman sehinggalah persoalan ekonomi, semuanya seperti tidak dipedulikannya.
Seperti yang disebut Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad, Najib umpama menggunakan “auto pilot” untuk menguruskan hal ehwal dalam negara atau dalam ketika lain, digunakan pengikut tidak berbayar untuk membuat huru-hara seperti siri demonstrasi yang dibuat sebelum ini
Bila ada bangsa Melayu yang membantah, pengikut Umno tuduh kononnya orang Melayu sudah menjadi alat bangsa Cina. Namun, apabila masyarakat Cina pula bangkit seperti isu kangkung yang dijadikan flash mob oleh Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon, dituduhnya itu satu penghinaan terhadap bangsa Melayu.
Akhirnya, kumpulan pelampau Umno inilah yang menggunakan tragedi terpencil 13 Mei sebagai senjata propaganda untuk memastikan kebobrokan Umno tidak diganggu gugat oleh sesiapa khususnya bangsa bukan Melayu.
Bukan satu rahsia lagi, ketika ini, banyak pihak mendesak supaya Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga bekas Menteri Penerangan, Dato’ Seri Zainuddin Maidin pernah mencadangkan supaya Mahathir dilantik semula dalam pentadbiran dengan jawatan Menteri Mentor – sebuah jawatan yang seolah-olah lebih tinggi daripada Perdana Menteri.
Dari Pakatan Rakyat sudah tentulah desakan supaya Najib meletakkan jawatan bukan hanya riuh sekarang tetapi sejak beberapa tahun sudah kerana Perdana Menteri mempunyai liabiliti yang terlalu besar dan banyak termasuklah didakwa terlibat dalam pembunuhan kejam model Monggolia, Altantuuyaa Shaariibuu.
Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula seperti sedang ‘tersenyum-senyum’ sambil mempersiapkan diri bagi ‘merampas’ jawatan idaman itu daripada Najib. Wataknya sekarang cuba ditunjukkan sebagai merakyat melalui siri pertemuan dengan rakyat bawahan. Pada masa yang sama, Muhyiddin juga kelihatan tidak membantu Najib menyelesaikan segala masalahnya, begitu juga isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Sekarang Najib dibiarkan terkontangkanting berhadapan pelbagai isu dan akibat keceluparan sendiri mengharam jadah-kan peneroka Felda yang membantah penyenaraian FGVH. Najib terlepas cakap apabila menggunakan kangkung sebagai contoh dalam ucapannya, satu ‘kebodohan’ luar biasa yang tidak pernah terucap oleh Perdana Menteri Malaysia.
Strategi politik yang diambil oleh seteru dalaman Umno seperti itu mudah difahami dan selalu diulangi. Dalam Umno, siapa yang berpotensi naik sebagai pemimpin, itulah yang akan dipuja dan diampu manakala yang sudah tidak berjawatan, akan dibiarkan sendiri seperti yang diakui oleh Mahathir.
Tidak mustahil, jika benar Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau hanya perlu menggunakan modus operandi politik seperti yang digunakan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu memperalatkan kedudukannya sebagai anak ulama iaitu Allahyarham Tuan Guru Mohd Yassin Muhammad yang mengasaskan Madrasah Assadiah dan Sekolah Menengah Mohd Yassin; dan sebagai tambahan, isteri Muhyiddin pula bertudung manis – satu kelebihan yang digemari dan dinantikan dalam Umno.
Maknanya, dari satu segi, pengaruh undi orang Melayu sudah berjaya dirampas semula dan Muhyiddin hanya perlukan lebih masa untuk menguruskan soal pengundi Cina dan India.
Sebagai ingatan mudah, selepas pengaruh keturunan itu digunakan oleh Abdullah Ahmad Badawi ketika menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hasilnya, Umno-BN menang besar dengan majoriti dua pertiga dan PAS terus hilang pentadbiran di Terengganu.
Tetapi kita juga faham, kesedaran politik rakyat Malaysia ketika ini sudah semakin tinggi dan Umno sendiri tidaklah berada dalam keadaan yang selesa seperti dahulu.
Pada titik inilah seharusnya kita merenung dengan cermat dan prihatin. Soalan besarnya adalah apakah Pakatan Rakyat sudah mempunyai kekuatan cukup dan ampuh untuk menghadapi Umno bawah pimpinan Muhyiddin kelak? Adakah nasib bangsa Melayu dan agama Islam yang diperkotak-katikkan semasa pemerintahan Umno mampu dipulihkan kembali martabatnya?
Kita semua maklum, orang Melayu penuh dengan sifat simpati dan bertolak ansur. Dalam pada kita bertolak ansur, kita juga kena faham bahawa ada masanya, kita sedang ditolak secara beransuransur.
Kita bimbang, ini yang kurang disedari apabila kita ghairah berpolitik.
Politik Umno adalah politik simpati. Umno tidak perlukan pun sebuah gagasan yang besar pun untuk memastikan terus berkuasa tetapi cukuplah menjadikan simpati sebagai propaganda politik.
Seperti kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, selepas empat tahun membuat kerosakan, Umno hanya memerlukan enam bulan sahaja untuk ‘bertaubat’ hadapan pengundi Melayu dengan rayuan supaya rakyat Malaysia mengekalkan BN sebagai pemerintah.
Inilah cabaran besar kepada PAS khususnya untuk menawan minda bangsa Melayu-Islam.
Minda orang Melayu mesti dipacakkan dengan kefahaman bahawa Umno adalah makhluk yang tidak mungkin akan insaf selagi tidak ditumbangkan dan untuk memastikan ini boleh dilakukan, Najib mesti dibiarkan sebagai Perdana Menteri sehingga PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.