Selasa, 28 Januari 2014
Keputusan saman Anwar terhadap Papa Gomo 28 Februari
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menetapkan 28 Februari depan untuk keputusan kes saman Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengendali blog 'Papa Gomo' yang didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkannya dalam video seks dengan seorang lelaki di laman berkenaan.
Hakim Rosilah Yop menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam, N Surendran dan Lateefa Koya yang mewakili Anwar dan peguam, Jasbeer Singh Kawna yang mewakili defendan, Wan Muhammad Azri Wan Deris (gambar).
Surendran ketika ditemui pemberita memberitahu bahawa mahkamah menetapkan tarikh itu untuk keputusan selepas kes berkenaan ditutup hari ini.
Jasbeer Singh memaklumkan kepada pemberita, pihaknya memohon tarikh baharu untuk memanggil saksi terakhir yang sepatutnya hadir ke mahkamah, bagaimanapun ia dibantah peguam plaintif (Anwar) dan mahkamah memutuskan kes itu ditutup.
Pada 21 Mac tahun lalu, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.
Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan.
Prosiding perbicaraan yang bermula semalam memanggil dua saksi plaintif termasuk Anwar dan seorang saksi defendan iaitu Wan Muhammad Azri memberi keterangan. - Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.