Jumaat, 31 Januari 2014

Gerakan sokong MCA bertanding di Kajang

MALAYSIAKINI


MCA perlu diberi peluang bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang kerana sebarang perubahan atau pemilihan calon dari parti lain dalam Barisan Nasional (BN) boleh menimbulkan masalah.
  
Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata memandangkan MCA mewakili BN bertanding di kerusi itu sebelum ini, pada prinsipnya Gerakan menyokong MCA untuk bertanding sekali lagi bagi kerusi berkenaan.
  
Katanya Gerakan berjanji tidak akan meletakkan calonnya bertanding bagi kerusi berkenaan pada pilihan raya kecil itu, yang belum diumumkan lagi.
  
"Ini adalah penyelesaian paling baik. Sekiranya ada perubahan, mungkin akan timbul masalah. Jadi, kami menyokong MCA terus bertanding bagi kerusi itu" katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan 2014 di Menara PGRM hari ini.
  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis itu.

Mah bagaimanapun berkata sekiranya BN memilih calon daripada parti komponen lain untuk bertanding pada pilihan kecil itu, Gerakan tetap memberi sokongan padu untuk memastikan kemenangan parti gabungan itu.
  
"Kami (Gerakan) berpendapat ia sejajar dengan semangat BN," katanya.
  
Menurutnya Gerakan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menawan semula kerusi itu dalam pilihan raya kecil Kajang.
  
Gerakan juga telah menyusun beberapa program tidak lama lagi.
  
Kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang kosong apabila penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan pada Isnin lepas.
  
Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencadangkan supaya BN tidak lagi memilih calonnya berdasarkan formula lama yang mengambil kira parti komponen dipilih bertanding mengikut kawasan.
  
Sebaliknya, beliau berkata calon yang dipilih mestilah seseorang yang berkelayakan dan terbaik mengikut penilaian peringkat tertinggi BN.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.