MALAYSIAKINI
Tindakan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang dan memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu "langkah taktikal" untuk menguasai Putrajaya, kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
"Anwar bertanding di sana akan memberikan satu mesej kepada orang ramai yang kita serius tentang Selangor dan akan menggunakan negeri ini sebagai batu loncatan ke Putrajaya," kata Azmin selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Selangor, petang ini.
Menurut Azmin, beliau sendiri sebenarnya sanggup mengosongkan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang disandangnya untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
"Kita perlukan pemimpin nasional yang kuat seperti Anwar untuk bertanding di Selangor.
"Kalau anda mahu saya tawarkan kerusi saya pun, saya sangat berbesar hati untuk berbuat demikian tetapi dalam perbincangan kami, Kajang adalah kerusi terbaik," kata pengerusi PKR Selangor itu.
Mengulas kritikan serta rungutan dari beberapa pemimpin Pakatan Rakyat tentang langkah itu, Azmin menjelaskan yang PKR Selangor maklum tentangnya.
Namun tegasnya, jaminan serta dukungan pemimpin tertinggi DAP dan PAS yang hadir pada sidang media pagi tadi meyakinkannya segala rintangan yang akan timbul dari langkah kontroversi itu akan berjaya diatasi.
"Kita dengari pandangan akar umbi tetapi jaminan yang diberi pimpinan itu amat penting.
"Kita akui ada sedikit kerisauan dari akar umbi tentang pilihan yang diambil PKR untuk mengadakan satu lagi pilihan raya kecil.
"Kita akan hadapinya bersama dan kita akan atasi isu ini," kata Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.