SHAH ALAM – Penganalisis politik melihat penamaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pilihan raya kecil Dun Kajang adalah tepat dan dianggap sebagai kunci kepada penyelesaian masalah dalaman PKR di Selangor.
Pensyarah Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berpendapat jika tokoh lain diletakkan sebagai calon, peluang untuk menyelesaikan masalah tersebut mungkin tiada.
“Ia penyelesaian kepada kemuncak masalah. Jadi pada saya, apabila Anwar dinamakan (sebagai calon) ini merupakan proses penyelesaian masalah dalaman PKR.
“Kalau misalnya tokoh lain yang ditampilkan dalam konteks persaingan politik ini, mungkin masalah dalaman itu tidak dapat diselesaikan,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Katanya, Anwar adalah kunci penyelesaian masalah dalaman sementara buat PKR.
“Ya (Anwar kunci selesai masalah)... untuk sementara. Penyelesaian sementara. Ini kita lihat dalam konteks politik PKR di Selangor kerana PKR itu peneraju di Selangor.
“Jika tidak diselesaikan secepat mungkin, ia akan menimbulkan masalah kepada kerajaan Selangor sendiri. sebelum ini berjangkit kepada kerajaan Selangor, lebih baik selesaikan dalam konteks PKR dahulu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan jika Anwar diterima di Kajang yang kebanyakannya didominasi kaum Cina, bermakna trend politik yang baru harus dilihat dalam negara ini.
“Bagi saya begitu (Anwar calon terbaik di Dun Kajang)... dalam penyelesaian masalah yang berlaku dalam PKR itu sendiri.
“Selalunya Kajang ini diwakili oleh masyarakat Cina. Kita lihat pula sekarang ini apabila orang Melayu ditampilkan dalam masyarakat yang marginal, adakah warna kulit itu bukan satu unsur besar dalam politik Malaysia?
“Jika Melayu wakili kawasan kaum Cina, maknanya satu trend politik baru kita harus lihat dalam konteks Malaysia,” katanya.
Kerusi Dun Kajang bakal dipertandingkan semula selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh meletakkan jawatannya sebagai Adun petang Isnin lalu.
Pencalonan Anwar itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di ibu pejabat PKR semalam.
Pengumuman itu menguatkan khabar angin yang bertiup kencang mendakwa Anwar akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor sekali gus meredakan pertelingkahan antara Abdul Khalid dengan Azmin di negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.