Natrah
(tiga, kiri) mengiringi Haniza (dua, kanan) beramah mesra dengan Wanita
PKR negeri yang hadir ke Majlis Pemilihan Jawatankuasa Pilihanraya
Wanita PKR Negeri Johor, semalam.
JOHOR BAHRU – Wanita PKR Johor akan menghantar jenteranya untuk bersama-sama menyertai himpunan di Dataran Merdeka, 31 Disember ini.
Ketuanya, Natrah Ismail berkata, Wanita PKR menolak dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang mengatakan himpunan berkenaan diadakan untuk mengguling kerajaan sedia ada.
Sebaliknya menurutnya, himpunan itu dibuat untuk bersama-sama memprotes pelbagai kenaikan harga barang yang tidak disangka-sangka hanya beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Kita akan bersama-sama membawa isi hati rakyat kerana pelbagai kenaikan barangan yang berlaku secara mendadak menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat, tapi mereka tidak berani untuk tampil ke depan.
“Kalau ramai yang membantah, contohnya berpuluh ribu, tak mungkin kerajaan masih tidak peka dengan kehendak rakyat,” katanya selepas Majlis Pemilihan Jawatankuasa Pilihanraya Wanita Negeri Johor, semalam.
Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Pilihanraya Wanita PKR merangkap Adun Taman Medan Selangor, Haniza Talha.
Natrah berkata, kerajaan sepatutnya peka dengan mendalami isi hati rakyat yang masih ramai hidup dalam kesempitan dan kesusahan, bukannya dibebani kenaikan secara mendadak sedemikian.
“Bagi golongan berada di atas, mungkin tiada masalah, tapi cuba kita selami rakyat yang bekerja makan gaji, petani dan pekebun, macam mana nak hidup dengan situasi semakin menghimpit sekarang.
“Pada saya, kita bukan nak guling kerajaan, tapi kita nak bantah perkara yang menghimpit kehidupan rakyat biasa sebelum berlabuh tirai 2013,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.