Oleh Muhammad Firdaus Abu Bakar
Gerakan Turun merupakan NGO yang diketuai oleh sahabat saya, Azan Safar, yang mempunyai objektif yang tersendiri.
Terdapat 3 objektif Gerakan Turun. Pertama, sebagai jentera penerangan kesedaran kepada rakyat untuk turut sama bangkit sebagai tindak balas kepada kegagalan kerajaan dalam menguruskan kebajikan rakyat.
Kedua, sebagai kumpulan pendesak yang membawa suara anak muda Malaysia terhadap tindakan kerajaan hari ini. Ketiga, sebagai pusat pengumpulan anak muda yang tertindas dan tertekan untuk memperjuangkan nasib kehidupan mereka.
Ketiga-tiga objektif ini akan membuka mata pihak kerajaan bahawa isu kos sara hidup yang semakin tinggi adalah isu yang sangat besar di mata rakyat khususnya mahasiswa. Mahasiswa sebagai golongan intelektual tidak akan membuat tindakan semborono malah hanya memikirkan kepentingan rakyat dan memperjuangkan isu ini demi rakyat, dan kerajaan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya.
Sebagai pemimpin negara, hendaklah mereka bersifat terbuka dalam menerima segala pandangan dan suara rakyat walaupun berbeza parti politik. Isu kenaikan kos sara hidup ini melibatkan semua orang tidak kira parti politik.
Gerakan Turun ditubuhkan dengan niat supaya kerajaan mengambil tindakan yang progresif untuk menyelesaikan masalah ini, dan bukanlah dengan memfitnah bahawa himpunan Turun pada 31 Disember 2013 adalah himpunan gulingkan kerajaan. Ini adalah tuduhan tidak berasas.
Contohilah sikap Khulafa' ar-Rasyidin kita Saidina Umar al-Khattab yang bersikap terbuka dengan pandangan rakyatnya. Umar pernah memberi satu pandangan berkenaan dengan mahar supaya dikurangkan nilainya supaya tidak membebankan pihak lelaki. Bangkit seorang wanita menegur beliau atas isu tersebut dan Umar mengatakan bahawa wanita itu benar. Jelas sekali di sini bahawa sikap yang ditunjukkan oleh Umar bersifat positif, terbuka dalam menerima kritikan daripada rakyat. Seharusnya kerajaan perlu bersikap seperti Saidina Umar.
Kerajaan adalah berperanan menjaga kebajikan rakyat daripada ditimpa kesusahan. Itu merupakan tanggungjawab sebuah kerajaan. Mereka perlu menjaga semua rakyatnya walaupun tidak sehaluan dengannya.
Adalah tidak benar sama sekali kerajaan perlu menjaga rakyat yang memilihnya sahaja semasa pilihanraya. Ini suatu pemikiran yang dangkal yang harus kita tolak. Apabila ini berlaku, rakyat melihat kerajaan tidak memainkan peranan menjaga hal kebajikan rakyat.
Melihat akan semakin banyak harga barang keperluan naik membuatkan rakyat terbeban dalam menguruskan kehidupan mereka. Walaupun ade sebahagian menteri memberi memberi respon isu kenaikan harga barang, tetapi respon yang diberikan sangat tidak logik malah menunjukkan ketidakcerdikan menteri dalam menangani isu ini. Melihat kepada isu ini juga, maka rakyat khususnya mahasiswa ingin menegur kerajaan atas tindakan yang tidak tepat menaikkan kos sara hidup ini sehingga membebankan rakyat.
Kerajaan perlu sedar bahawa salah satu peranan mereka ialah menguruskan kewangan negara dengan baik. Allah berfirman dalam surah al-Furqan, ayat 67, yang bermaksud: "Dan mereka yang apabila berbelanja mereka tidak boros dan tidak kedekut dan adalah perbelanjaannya pertengahan antara keduanya."
Hal ini bermaksud kerajaan perlu membelanjakan duit negara dengan berhemah. Melihat kepada isu yang berlaku sekarang ini, tindakan sewajarnya dilakukan adalah membuat penilaian kembali apa yang telah dibelanjakan sehingga boleh menyebabkan kewangan negara menghadapi masalah.
Laporan Audit Negara telah memainkan peranan ini untuk menegur kerajaan mengenai perbelanjaan sepanjang tahun 2012 yang ternyata merugikan negara. Sebagai contoh, Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta untuk menaja kumpulan K-Pop. Menariknya sebelum ini kementerian melaporkan konsert tersebut ditaja oleh syarikat swasta.
Ertinya pemborosan berlaku disulami dengan penipuan untuk menutup pemborosan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan telah membelanjakan duit negara ke arah aktiviti yang tidak bermanfaat.
Oleh itu, kerajaan perlu memainkan peranan mengatasi kekurangan dalam mengurus perbelanjaan negara dan menyelesaikan masalah pengurusan kewangan negara, bukan mensasarkan kepada rakyat dengan cara menaikkan kos sara hidup. Tindakan itu tidak wajar sama sekali.
Teguran yang dibawa Turun adalah jelas, supaya kerajaan membelanjakan harta negara dengan baik dan tidak berlaku ketirisan, supaya masalah kewangan negara dapat di atasi dan rakyat tidak mendapat kesan dengan dinaikkan kos sara hidup.
Oleh yang demikian, kerajaan perlu mendengar suara rakyat terhadap isu ini.
Benarkan himpunan Turun ini dan jangan kenakan sebarang tindakan kepada rakyat dan mahasiswa yang turun ke himpunan tersebut, kerana objektif mereka adalah untuk mendesak kerajaan mengambil inisiatif menyelesaikan isu ini.
Isu kos sara hidup ini cukup-cukup membebankan rakyat. Adakah kerajaan tidak mahu mendengar rintihan suara akar umbi mengenai isu ini, malah mengenakan tindakan kepada peserta Turun ini?
Ini bukan Himpunan Gulingkan Kerajaan! Ini adalah rintihan suara rakyat atas bebanan yang mereka hadapi sekarang ini. Wahai pemimpin, dengarlah suara kami! –
* Penulis merupakan pelajar jurusan Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.