Ahad, 29 Disember 2013

UMNO dipilih bukan kerana parti itu baik


Oleh Aspan Alias


Dalam isu memilih pemimpin dalam pilihanraya yang lalu, sebenarnya pemimpin-pemimpin utama pembangkang yang membuatkan BN masih menang dalam jumlah dan perbezaan yang tipis. Disebaliknya, pemimpin BN juga yang membuatkan setengah dari rakyat yang mengundi pembangkang. Masing-masing BN dan pembangkang menyumbang untuk sokongan kepada lawan masing-masing. BN membuatkan PR kuat dan PR juga membuatkan BN kekal sebagai kerajaan. 

Bagi saya, kenyataan ini boleh dibuktikan semasa pilihanraya yang akan datang dan tidak perlu saya melayan kecaman setengah pihak terhadap diri saya kerana pandangan saya yang tidak menyenangkan mereka. Pandai tak ada tetapi pengalaman kepada saya ada sikit-sikit. Saya ulangi, UMNO dan BN tetap akan menang dalam pilihanraya yang akan datang walaupun saya sendiri tidak begitu gemar melihat keadaan itu.


Tetapi kenyataan, tetap kenyataan dan saya belum lagi bercadang untuk menghiburkan diri sendiri dan bermimpi di siang hari seperti ramai yang begitu di luar sana. Siapa yang hendak mengkritik saya silakan lah. Lakukanlah sekehendak hati. Katalah saya apa-apa sekali pun kerana pemimpin pembangkang dan pengikutnya tidak serius dalam melakukan pengambil alihan kuasa negara.

BN pula begitu lalai kerana mereka tahu pembangkang tidak akan mampu mendapatkan mandat rakyat yang memerhati segala gelagat pimpinan kedua-dua belah pihak. Maka berperanglah penyokong terutamanya penyokong pembangkang dimana-mana....dalam ceramah dan dalam alam cyber memaki hamun dan mencarut dengan menggunakan bahasa yang kesat terhadap sesiapa yang mahu bercakap benar yang pembangkang tidak akan mampu mengambil alih kerajaan ini.

Kebanyakan yang bercakap besar dan mencarut itu adalah yang muda-muda yang baru bergiat dari tepian politik dan mereka ini garang-garang kerana hendak menunjukkan hebat dan berbeza. Tetapi ramai hanyalah seperti anak muda julung berkeris, batang pisang pun hendak disanggahnya.

Maklum sajalah baru cuba-cuba memegang keris, sampai tidak ada masa menyarungkan keris kesarungnya. Asyik hendak memaki hamun dengan perkataan-perkataan kotor sampaikan tidak ada masa untuk menunjukkan cadangan yang baik bagi kebaikan bersama. Baru pagi tadi seorang yang agak ‘senior’ dalam pembangkang bercakap dengan saya.

Katanya “selagi kami pembangkang masih tidak menukar pimpinan mereka selagi itulah PR tidak akan kemana-mana dan selagi UMNO dipimpin oleh Najib serta barisan yang ada selagi itulah mereka akan menjahanamkan kita”. Katanya “it’s a choice between the devil and deep blue sea”.

Saya berasa lega mendengar kata-katanya itu, kerana saya telah menulis dalam posting saya beberapa hari yang lepas, yang kita harus melupakan ‘partisan politics’ dan kita cari pemimpin yang ‘level headed’ untuk menyusun kembali negara ini buat seketika. Selepas disusun dan dikembalikan ‘sanity’ dalam politik negara beliau boleh mengundurkan diri untuk di serahkan kepimpinan negara kepada mereka yang berkesanggupan mengakui yang negara memerlukan pemimpin yang berkepimpinan, bukannya pemimpin yang tidak tahu apa dia kepimpinan itu.

“Kita letih dengan cara memilih pemimpin baik dalam PR mahupun dalam BN. Siapa yang berteriak lebih kuat atau berjenaka diatas pentas itulah pemimpin bagi mereka. Kita sudah banyak sumber untuk mendengar lawak jenaka ini. Kita boleh tengok filem lakonan AR Tompel dan rakan-rakannya” kata kawan saya tadi selamba.

Saya bersetuju dengan pandangannya kerana hakikatnya siapa yang bercakap tidak bersopan itu, memang pasti bukan pemimpin atau penyokong yang baik. Siapa yang bercakap besar dan memaki hamun dengan kata-kata kesat itu, sudah pasti mereka yang kosong dalam pemikiran atau jiwanya. Itu ‘nature’, kerana orang yang bersikap begitu selalunya orang yang terlalu banyak kelemahan yang hendak ditutupi dan dilindunginya.

Tidak ada siapa yang bercakap secara ‘organic’ untuk melakukan kelainan untuk kebaikan dan yang bercakap besar ini pun tidak nampak perkara yang benar-benar teguh yang telah membawa perubahan kepada negara. Tidak ada juga perancangan dasar yang boleh merubah politik negara kearah kebaikan. Yang kita dengar hanyalah penghapusan PTPTN, penghapusan tol dan mengurangkan harga minyak.

Tetapi tidak ada perancangan untuk membangunkan rakyat melalui dasar-dasar yang konkrit untuk menambah nilai pemikiran dan sikap manusia dan menambah nilai budaya dan membentuk ‘sense of ownership’ terhadap negara. Tiada dasar atau usaha untuk meningkatkan nilai dan keutamaan bagi menambah kekuatan negara sebagai sebuah negara persekutuan.

Baik dalam PR atau BN pemimpin yang benar-benar pemimpin tidak boleh timbul kerana politik peribadi masing-masing. Bagi mereka hanya mereka yang berada dalam barisan kroni mereka sahaja yang boleh timbul kerana kuasa itu tidak boleh terlepas kepada orang yang baik dan bermutu.

Contohnya orang Melayu P Pinang sedang cuba dibuktikan oleh parti yang memerintah negeri itu yang Melayu semuanya bodoh dan tidak boleh berada di dalam Dewan Undangan Negeri. Orang melayu yang beragama Islam hanya layak untuk menerima ehsan kumpulan yang mentadbir negeri itu dengan peruntukan untuk hal ehwal Islamnya yang sebanyak RM63 juta itu sahaja.

Selainnya Melayu hanya layak untuk menampal poster dan banting dalam pilihanraya sahaja dan jika cuba bercakap mereka akan diungkit-ungkit dengan peruntukan bagi agama Islam itu sahaja. Tetapi apabila diatas pentas berapi-api berucap mengaku sebagai parti 'multiracial' hanya kerana kehadiran seorang bukan Melayu yang memilih untuk menjadi Melayu dengan menggunakan nama Melayu dan beragama Islam.

Semua yang dikatakan oleh pimpinan mana-mana parti dan pihak semuanya berunsurkan ‘political intrigue’ terhadap sesama pemimpin dan permainan politik ‘inter-party’ dikalangan barisan pembangkang dan dalam isu ini BN nampak lebih terbuka di antara parti-parti komponennya.

Didalam PR perhubungan di antara parti-parti didalamnya terpaksa dilalui dengan penuh ranjau dan memerlukan kesabaran. Dalam berjanji setia mereka, ada parti yang membawa isu nama ‘Allah’ dan isu yang di sebutnya itu menyebabkan PAS terpaksa berkedudukan ‘defensive’ dan tidak dapat menyelesaikan isu itu dengan pengundi-pengundi di desa-desa tempat di mana PAS diperuntukan banyak kerusi dalam PRU yang lalu.

Walaupun PAS bersabar diperingkat pimpinannya dengan parti yang saya maksudkan tadi, tetapi rata-rata ahli-ahli parti Islam itu diperingkat akar umbi ternyata kecewa kerana tidak dapat menahan ombak permainan isu itu oleh UMNO dan BN. Akhirnya bukan sedikit jumlah ahli PAS sekarang percaya sebusuk-busuk UMNO itu ada juga bau Melayu dan Islam nya.

Itu sebabnya akhir-akhir ini blog ini dengan disokong oleh beberapa pihak memberikan pandangan agar permainan ‘partisan politics’ ini dihentikan dan buat sementara ini kita fokuskan untuk mencari orang yang  boleh memainkan peranan membangun persepaduan di antara kaum, yang merupakan perjuangan ‘ultimate’ negara ini sejak merdeka dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.