Ahad, 1 Disember 2013
Tony Pua: DAP bantah DEB kerana mahu Melayu lebih kaya
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, berkata parti itu berkeras menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) bukan kerana membenci kaum Melayu dan Bumiputera sebaliknya mahu melihat golongan tersebut menjadi lebih kaya yang sekali gus mengukuhkan ekonomi kaum Cina.
Katanya, Dasar DEB hanya mengukuhkan ekonomi kumpulan tertentu dan Malaysia perlu berubah daripada melihat kepentingan ekonomi berasaskan kaum kepada fokus membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
“Kita bantah DEB kerana kita mahu orang Melayu menjadi semakin pandai dan kaya kerana apabila mereka menjadi semakin kaya, ekonomi ahli perniagaan Cina juga semakin meningkat apabila orang Melayu ada kuasa membeli.
“Kenapa mesti keruhkan pemikiran kita mengikut konsep bangsa? Kita perlukan satu dasar yang tidak mengikut bangsa dan pendapatan. Ini bukan kerana saya bantah atau benci orang Melayu tetapi dasar yang lebih baik perlu dikhususkan mengikut pendapatan,” katanya dalam sebuah forum di Petaling Jaya malam tadi.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu turut kesal dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semasa mengumumkan program pemerkasaan ekonomi Bumiputera September lalu dengan mudah melabelkan kaum asing untuk dikategorikan sebagai Melayu.
Katanya, kaum bukan Bumiputera bertungkus-lumus membangunkan negara dan sebahagian pendapatan mereka disalurkan kepada negara melalui cukai pendapatan.
“Najib semasa membentangkan program pemerkasaan ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ada menyebut Jawa itu Melayu, Jakun dan Sakai Asli adalah Melayu, Arab dan Pakistan semua dikira Melayu walaupun Mamak dan Malabari juga disebut Melayu.
“Saya berketurunan Cina tetapi jika dibandingkan dengan seseorang dari Pakistan yang mungkin akan menjadi warganegara dalam tempoh dua tahun dan anak mereka mendapat kewarganegaraan secara langsung serta berstatus Bumiputera yang mempunyai hak tertentu disebut dalam Perlembagaan.
“Di mana letaknya konsep keadilan dalam perkara ini? Sebagai bukan Melayu Bumiputera, kami menyumbang dengan membayar cukai bersama rakan lain. Tetapi kami tidak dilihat sebagai rakyat penuh negara ini,” katanya.
Pua berkata, kuota pendidikan dikhususkan kepada Bumiputera yang pada asalnya untuk mencerdikkan anak Melayu tetapi akibat daripada tenaga pengajar kurang berpengalaman pelajar Melayu terpaksa menerima akibatnya.
Katanya, sebagai ahli Parlimen, ramai pengundi dari kawasannya mahukan surat sokongan agar dapat ditempatkan di kolej matrikulasi tetapi beliau menyarankan mereka menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kerana ia mampu memberi peluang lebih cerah.
“Masuk matrikulasi lebih mudah masuk universiti tetapi mendapat kursus pengajian yang tidak sukar. Apa yang akan terjadi adalah ilmu tidak meningkat. STPM lebih susah dan jauh lebih baik daripada matrikulasi.
“Lebih baik mengambil STPM. Mangsa secara tidak langsung adalah orang Melayu dan Bumiputera tetapi golongan inilah yang mahu kita bantu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang juga ahli panel dalam forum itu meramalkan 2014 adalah tahun kenaikan harga barang dan perkhidmatan kerana kerajaan persekutuan hanya mempunyai masa kira-kira satu setengah tahun untuk berbuat demikian.
Katanya, rakyat perlu menghadiri setiap perhimpunan bantahan yang dilakukan pembangkang supaya kerajaan tidak lagi berani menaikkan harga barang sesuka hati.
“Tahun depan saya menjangkakan diingati sebagai tahun barang naik. Barisan Nasional (BN) perlu menaikkan harga barang sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan kerana jika dilaksanakan selepas pelaksanaan cukai itu, ia akan lebih mengundang kemarahan rakyat untuk menggulingkan BN.
“Kita perlu tentang kenaikan harga barang dan tarif. Jika dipanggil membantah kenaikan cukai, saya minta seramai mungkin yang turun kerana jika ia tidak ditentang akan menjadi amalan dari tahun ke tahun.
“GST akan bermula dengan 6% dan seterusnya dinaikkan kepada 10% secara berperingkat,” katanya yang turut membangkitkan masyarakat perlu dilengkapkan ilmu secukupnya agar dapar berfikiran rasional untuk menolak segala dakyah kerajaan.
Ahli Palimen Pandan itu turut membangkitkan akibat pelbagai tekanan kewangan yang diberikan kepada rakyat, hutang isi rumah kini meningkat kepada RM820 bilion setelah rakyat dibebankan dengan pelbagai hutang bulanan yang terlalu tinggi.
Katanya, kadar hutang isi rumah di Malaysia merupakan kedua tertinggi di Asia dan melebihi hutang semasa kerajaan iaitu RM541 bilion.
“Hutang kerajaan RM541 bilion dan ia memberi kesan kepada kerajaan untuk berbelanja hari ini. Tetapi yang kita tidak tahu adalah soal hutang rakyat lebih tinggi berbanding hutang kerajaan.
“Hutang rakyat hari ini kedua tertinggi di Asia selepas Sri Lanka. Rumah dan kereta perlu dibayar. Keluar dari universiti, Pinjaman PTPTN juga perlu dibayar. Jika gaji sekadar RM3,000 sebulan maka tidak mampu membayar hutang dan perbelanjaan bulanan,” katanya.
Ketika ditanya adakah Selangor wajar dijadikan contoh pelan pendidikan percuma, Rafizi berkata, tanggungjawab pendidikan adalah di bawah kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu berlaku adil kepada semua rakyat Selangor.
Bagaimanapun, katanya, pendidikan kepada anak negeri Selangor tidak perlu diabaikan dengan memberi bantuan sewajarnya supaya dapat memberi contoh kepada kerajaan pusat.
“Pendapatan rezab kerajaan negeri Selangor lebih kecil daripada RM3 bilion. Punca kewangan negeri terlalu sedikit iaitu hanya daripada premium tanah. Saya berasa tidak wajar jika mana-mana negeri mengambil tanggungjawab kerajaan pusat.
“Jika meminta kerajaan Selangor melaksanakannya maka menghukum rakyat Selangor kerana terpaksa kurangkan peruntukan lain di bawah peruntukan kerajaan negeri.
“Walaupun Selangor tidak boleh melaksanakan pendidikan percuma sepenuhnya tetapi kita boleh tunjukkan dengan pendapatan yang terhad ini, peratusan yang disumbangkan untuk memudahkan pendidikan anak Selangor jauh lebih tinggi berbanding kerajaan pusat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.