Kakaknya, bekas guru, Kamar Mahtum, 73, berkata dia amat marah, sedih dan kecewa dengan Siti Aishah dan berulang kali bertanya kepadanya 'bagaimana tergamaknya awak' berhubung keputusannya untuk menghilangkan diri tanpa dapat dikesan pada 1970.
"Kini saya tahu dia melakukannya tanpa rasa kesal. Sekurang-kurangnya, saya fikir begitu," katanya kepada akhbar British, The Telegraph, dalam temubual eksklusif selepas bertemu dengan Siti Aishah.
Kamar berkata Siti Aishah tidak selesa dengan soalannya dan seolah-olah mengelak ketika ditanya mengenai kehidupannya.
Kamar berkata Siti Aishah mengadu dimarahi kakaknya itu tetapi terpaksa memberitahu perkara tersebut kerana tiada siapa yang akan memberitahu mengenainya kepada kakaknya itu.
"Saya tiada peluang lain sama sekali, saya rasa, sehingga akhir hidup saya untuk datang dan bertemunya semula. Melainkan jika dia pulang ke rumah," katanya.
Ketika ditanya mengenai kehidupannya di London, Siti Aishah berkata, dia mempunyai ramai kawan-kawan di sini.
Kamar Mahtum berkata, Siti Aishah memberitahu dia boleh hidup tanpa keluarganya seperti yang dilakukan selama 40 tahun yang lalu.
Beliau berkata selepas bertemu Siti Aishah, dia dapat merasakan adiknya itu masih belum dapat meninggalkan fahaman politik berhaluan kiri itu dan tidak merasakan keluarga penting bagi dirinya.
Siti Aishah antara tiga wanita yang berjaya diselamatkan daripada menjadi hamba domestik lebih 30 tahun di selatan London yang didalangi warga India, Aravindan Balakrishnan dan rakannya, Chanda Pattni.
Beliau mendapat biasiswa Komanwel di London pada 1960 tetapi terputus hubungan dengan keluarganya selepas pergerakannya dikawal rapi Aravindan.
Sementara itu, Kassim Ahmad, bekas pengerusi Parti Sosialis Rakyat Malaysia, berkata beliau dan Aravindan memiliki sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Young Socialist pada 1960 di London.
"Saya fikir dia seorang warga Singapura. Terdapat beberapa pelajar, mungkin 30 atau 50 orang yang menyertai persatuan itu.
"Kami bertemu setiap Ahad untuk berbincang mengenai teori sosialis," katanya pada Sabtu.
Kassim, 80, yang juga merupakan seorang pensyarah di University of London’s School of Oriental & African Studies dari 1962 hingga 1966, tidak pasti apa yang dipelajari Aravindan pada waktu itu.
"Saya hanya ingat dia sebagai salah seorang ahli yang berminat. Saya tidak ingat kami sebagai pelampau. Kami sosialis," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.