Ahad, 1 Disember 2013

Selangor jujur, bersih rasuah layak naik gaji - Dr Asri

HARAKAHDAILY 
KUALA LUMPUR: Anggota pentadbiran kerajaan yang jujur, bebas rasuah dan memiliki kemampuan kewangan kukuh layak menerima kenaikan gaji, kata bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, lapor Selangor Kini.

Mengikut perspektif Islam, beliau berkata, langkah itu mampu membendung Menteri Besar, Speaker dan Timbalan Speaker, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu dari terjebak dalam rasuah.

Katanya, kalau soal akauntabiliti itu betul-betul sudah ditekankan, kemudian dinaikkan gaji sebagai  satu lagi langkah mengangkat akauntabiliti, tidak mengapa.

“Tidak kira Menteri Besar, Adun atau Ahli Parlimen sekalipun boleh naik gaji kalau benar terbukti mereka tidak pernah ambil apa-apa keuntungan  selain gaji mereka semata-mata,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sesebuah kerajaan negeri harus terlebih dahulu mengkaji sama ada kenaikan itu memberi kesan negatif dari sudut ekonomi kepada rakyat.

“Bukan Selangor sahaja naik gaji, Ahli Parlimen, Perdana Menteri juga akan naik gaji pada tahun hadapan. Sebelum ini, Sarawak juga naik gaji lebih tinggi dari Selangor.

“Ada laporan 300 peratus kenaikan gaji di Selangor, memanglah. Saya mula-mula terkejut tetapi bila teliti gaji lama memang sangat rendah,” katanya.

Dr Asri berkata, langkah menaikkan gaji sama ada pemimpin negeri atau negara untuk mengelakkan rasuah bukan baru, malah ia dipraktik di Singapura dan negara maju lain.

Katanya,  tuduhan kenaikan itu tidak wajar kerana ada rakyat masih berada di bawah paras kemiskinan tidak timbul kerana ia memudahkan pemimpin membantu golongan sedemikian.

“Dalam kerangka politik Malaysia, perbelanjaan ahli politik besar sebab ramai rakyat datang minta duit. Walaupun bukan wajib diberi tetapi dalam pengurusan politik selalunya  bagi juga, tidak banyak sedikit.

“Bukan YB sahaja, tokoh lain seperti tokoh agama, selebriti pun begitu, orang jumpa orang minta. Kalau gaji rendah, untuk keluarga sendiri tak lepas. Sebab RM10,000 bukan besar untuk seorang tokoh yang ke sana ke mari,” katanya.

Sebaliknya, Profesor Madya Fakulti Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, berkata kenaikan berkenaan menjadi sia-sia dan tidak adil kepada rakyat jika gejala rasuah berlaku dalam pentadbiran negeri.

“Selangor ada beberapa kelebihan. Pertama, duit banyak. (Tapi) sebab Selangor negeri Pakatan Rakyat, jadi banyak mata tertumpu. Ini bagus sebab menjadikan mereka lebih berhati-hati,” katanya.

Dr Asri berkata, wang rizab Selangor yang ketika ini hampir mencecah RM3 bilion pula mampu memberi manfaat besar kepada segenap lapisan rakyat.

“Selangor sebuah negeri yang efisyen dari sudut laporan audit dan sebagainya. Tiada kes rasuah disabitkan dan pendapatan tinggi. Cuma kena fikirkan bagaimana nak belanjakan duit yang banyak itu kepada rakyat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.