SHAH ALAM – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mencadangkan institusi wakaf diketengahkan sebagai salah satu langkah menangani kos sara hidup yang semakin membimbangkan mutakhir ini.
Presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, golongan miskin terus tertekan kerana tidak ada program untuk membantu mereka.
“Sebab itu dalam DPIM kami menggalakkan agar institusi wakaf diketengahkan. Termasuk wakaf korporat. Sebab pada zaman perkembangan Islam dahulu, sebahagian besar perbelanjaan ditanggung oleh badan-badan wakaf yang disumbangkan oleh orang-orang kaya.
“Hari ini dalam keadaan sekarang, kita lihat orang kaya bertambah kaya, tidak ada program untuk membantu orang miskin dan orang miskin akan terus tertekan,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurutnya, cadangan itu sudah lama dikemukakan kepada kerajaan melalui memorandum yang dihantar.
“Sejak awal lagi DPIM sudah mengemukakan kepada kerajaan supaya konsep wakaf korporat, konsep institusi wakaf ini dikaji, diteliti serta diaplikasikan Supaya dapat mengurangkan jurang perbezaan kaya dan miskin.
“Kita sudah lama pun menghantar memorandum kepada kerajaan supaya mengkaji dan memperkenalkan konsep wakaf. Kaedah wakaf paling sesuai kerana kita menggunakan harta orang kaya untuk mendapat ganjaran pahala di akhirat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bukan sahaja orang kaya, kerajaan dan orang ramai juga boleh menyumbang untuk disalurkan kepada yang memerlukan.
“Tak boleh nak buat esok. Sebab itu saya kata kerajaan kena kaji supaya wakaf ini boleh menjadi jambatan untuk menyalurkan kekayaan daripada sektor korporat.. sebab yang susahnya hari ini adalah orang miskin.
“Sangat penting untuk kita mengkaji seluruh sistem pengurusan ekonomi negara kita dan yang paling molek ialah mencontohi semula kaedah pengurusan ekonomi mengikut kaedah Islam, di mana masyarakat yang kaya dapat menyumbang untuk membantu masyarakat miskin,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau melahirkan kebimbangan mengenai kenaikan kos sara hidup yang tidak diselaraskan dengan tindakan sewajarnya oleh pihak kerajaan.
“Cabaran ini akan lebih menyusahkan oleh sebab semua negara di dunia menghadapi cabaran ekonomi. Yang membimbangkan ialah apabila kenaikan kos ini tidak diikuti dengan tindakan terlebih dahulu oleh pihak kerajaan untuk menentukan perbelanjaan kerajaan itu berhemah.
“Kerajaan sebenarnya sudah lama ada rancangan transformasi ekonomi yang antara lain perlu menumpu perhatian bagaimana nak mengecilkan perbelanjaan. Ini satu langkah jangka panjang. Tak boleh dibuat sewenang-wenangnya. Perlu ada perancangan.
“DPIM menyeru supaya perancangan tersebut mengambil kira aspek ini iaitu bagaimana nak mengecilkan perbelanjaan kerajaan. Dalam Islam pun kerajaan tak perlu belanja besar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.