SHAH ALAM - Seramai 70 anggota dan pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, yang diketuai Yang Dipertuanya, Abu Bakar Yahya, membuat bantahan secara aman di depan Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Tunjuk perasaan itu berlangsung selepas Perkasa Selangor membuat laporan polis pada 2.30 petang terhadap Pengarang Mingguan Katolik The Herald Paderi Lawrence Andrew berhubung satu kenyataan yang dikeluarkannya dalam portal berita themalaysianinsider.com Jumaat lepas.
Andrew dipetik sebagai berkata Gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah 'Allah' dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menghantar notis peringatan kepada mereka berhubung enakmen negeri melarang bukan Islam menggunakan kalimah itu.
Perkasa, dalam laporannya, meminta siasatan terperinci dan tindakan tegas diambil oleh pihak polis dan JAIS terhadap paderi itu serta The Herald agar penggunaan kalimah Allah di gereja dalam negeri Selangor tidak diteruskan.
Polis mengesahkan menerima laporan Perkasa petang tadi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.