Jumaat, 27 Disember 2013

Penantian 20 tahun tunggu miliki rumah berakhir

Oleh: Lizawati Madfa


KLANG: Setelah lebih 20 tahun menanti, hanya airmata kegembiraan yang dapat dititiskan Rosli A. Hamid apabila menerima replika kunci rumah daripada Kerajaan Selangor.

DSC_0076a (1)

Lelaki berusia 58 tahun itu berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih dengan usaha Kerajaan Negeri yang sudi membantu rakyat sepertinya memiliki rumah sendiri.

Katanya, beliau dan keluarga pernah menempuh pengalaman perit apabila beberapa kali diusir daripada rumah sewa kerana gagal menjelaskan wang sewaan.

“Kali terakhir diusir, saya terpaksa membawa anak dan isteri untuk menumpang di rumah keluarga mertua tetapi persoalannya sampai bila.

Rosli b abd Hamid-“Satu masa nanti andai orang tua tiada, perkara lain pula harus difikirkan apabila soal hak rumah menjadi pertikaian adik beradik.

“Jadi, hari ini tidak terkira kesyukuran kerana akhirnya kami dapat juga kediaman sendiri,” kata pesara tentera ini.

Rosli kali terakhir bekerja sebagai pengawal keselamatan namun akhirnya dibuang kerja akibat mempunyai masalah kesihatan; kencing manis, serangan jantung dan juga darah tinggi.

“Sejak itulah, tiada siapa lagi mahu ambil bekerja sehingga rumah yang saya beli terpaksa dilelong dan akhirnya kami semua hanya mampu menyewa merata-rata dengan berbekalkan wang pencen sahaja,” jelasnya lagi.

Beliau yang hadir ditemani anak bongsunya merupakan antara 43 penerima rumah baru di Majlis Penyerahan Kunci Rumah yang diadakan di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Tiew Way Keng itu turut meraikan 21 penerima bantuan program Baik Pulih Rumah.

Zarina bt mahmud-Sementara itu, penerima program Baik Pulih Rumah, Zarina Mahmud 39, pula berharap program kebajikan yang dianjurkan Kerajaan Negeri dapat terus dikembangkan dan ditambahbaik demi kepentingan rakyat.

“Contohnya seperti program ini, memang baik kerana jika bahagian rumah rosak tidak dibaik pulih, ia akan beri kesan yang lain pula pada penghuni rumah.

“Cuma diharapkan agar Kerajaan Negeri dapat mempercepatkan lagi proses permohonan baik pulih ini kerana jika sesuatu kerosakan itu dibiarkan lama, ia akan membawa kesan kerosakan yang lebih teruk lagi, dan ini beri kesan pula pada kos pembaikan,” kata Zarina yang menerima bagi pihak ibu mertuanya.EZY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.