THE MALAYSIAN INSIDER
Pemuda Pakatan Rakyat (PR) memberikan sokongan terbuka kepada perhimpunan menurunkan harga barang yang akan diadakan serentak dengan sambutan tahun baru dan mengajak Pemuda Barisan Nasional (BN) untuk bersama mereka.
Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong (gambar) berkata, pemimpin BN perlu melaksanakan cadangannya untuk perubahan dengan tidak kekal diam dan menyokong hak demokratik rakyat.
"Prinsip kami untuk menyokong hak demokratik rakyat perlu diikuti oleh Pemuda BN khasnya Pemuda MCA kerana pemimpin mereka juga mengajak kepada perubahan," Teo berkata dalam kenyataannya hari ini.
Sambil mendesak Pemuda Umno dan MCA menyertai perhimpunan 31 Disember, Teo berkata jika Pemuda BN tidak menyertainya, "desakan menuntut perubahan oleh Pemuda BN hanya retorik semata-mata".
Pagi tadi, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dalam kenyataannya menyeru semua ahlinya turun bersama anak muda untuk menyertai perhimpunan ini.
Beliau sendiri, katanya, akan turun ke Dataran Merdeka pada Selasa ini.
Cadangan perhimpunan di Dataran Merdeka telah dikritik oleh media tradisional sebagai usaha “menggulingkan kerajaan”.
Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 1,000 laporan polis telah dibuat untuk membantah perhimpunan itu manakala polis pula telah mengenalpasti penganjurnya iaitu empat NGO yang didakwa rapat dengan PR.
Pemimpin pelajar Azan Safar telah ditahan awal minggu ini untuk disoal berhubung dengan dakwaan dia adalah dalang di belakang perhimpunan untuk mengambil alih Putrajaya.
Walaupun PR menafikan mereka merancang perhimpunan ini tetapi mereka tidak menentangnya.
"Kami dari Pemuda DAP bersama Pemuda PAS dan PKR secara prinsipnya menyokong himpunan ini dengan mengambil kira semangat perlembagaan, undang-undang dan demokrasi yang matang," kata Teo.
Ketika mempertahankan penganjur perhimpunan ini, Teo berkata kumpulan pro demokrasi tidak patut dilabel sebagai penjenayah.
"Kumpulan pro demokrasi ini bukan penjenayah atau mereka yang mempunyai niat jahat untuk menggulingkan kerajaan atau kumpulan ganas.
"Kumpulan pelbagai kaum dan dari pelbagai latar belakang ini berjuang untuk kepentingan rakyat yang tertindas yang perlu dipertahankan dan dibantu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.