Oleh Abd Shukur Harun
Pelik juga memikirkan kata-kata Ketua Wanita Umno Bahagian Kuantan Datuk Zaiton Mat yang mencadangkan agar pihak yang tidak suka kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya meninggalkan negara ini.
Kata-katanya ini menimbulkan kemarahan dan kritikan pelbagai pihak, termasuklah di kalangan sesetengah tokoh Umno sendiri yang tidak bersetuju dengan kata-kata tersdebut, yang sedar akan situasi yang ada sekarang.
Bayangkan, bagaimanakah rakyat Malaysia yang sah sebagai warganegara tiba-tiba mahu disuruh meninggalkan negara ini, hanya kerana rakyat prihatin ini tidak bersetuju dengan dasar dan langkah kerajaan terutamanya mengenai kenaikan harga barang, menyebabkan mereka mahu berhimpun membantah kenaikan tersebut.
Ini bukan pertam kali kata-kata karut marut dikeluarkan oleh orang Umno/BN, malah ada yang lebih dahsyat dari itu. Umpamanya ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang berkata, “Jika Umno tiada, bagaimanakah nasib orang Melayu, di mana mereka hendak mengadu.”
Ucapannya ini menyebabkan ramai orang bertanya, bagaimana dengan kuasa Rububiyah Allah yang menentukan nasib manusia, qada’ dan qadar, rezeki, umur, ajal dan maut hamba-Nya. Adakah nasib Melayu ditentukan oleh Umno, bukan kuasa Allah s.w.t.?
Maka itu kenyataan pemimpin Wanita Umno Kuantan ini yang menyuruh penentang Umno/BN supaya meninggalkan negara ini adalah analoji yang dangkal dan kuno. Inilah akibat mudahnya bercakap tanpa memikirkan lojik akal rasional.
Oleh itu, jika analogi dangkal ini hendak dipakai, maka kita bertanya bagaimana dengan mereka yang menentang Pakatan Rakyat yang mendiami negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang. Adakah mereka disuruh berpindah ke negeri lain yang diperintah oleh Umno?
Oleh itu apalah yang boleh kita harapkan dari kebanyakan orang Umno/BN yang berfikiran serupa ini, walaupun tidak semua.
Pendapat dangkal dan pelik serupa ini menimbulkan kritikan pelbagai pihak, baik pemimpin Pakatan Rakyat, penganalisis dan ahli politik, NGO dan rakyat prihatin yang lain, malah dari kalangan beberapa tokoh Umno sendiri.
Pendapat tokoh Wanita Umno ini malah menjadi bahan tertawaan ramai orang, bukan saja kerana ia tidak memahami rialiti masyarakat yang ada, tetapi juga kedangkalannya berpolitik.
Di sini nyatalah pemikiran kebanyakan orang Umno/BN benar-benar ketinggalan zaman pada ketika dunia moden dengan pelbagai kemajuan teknologi dan dunia intelek begitu pesat. Malangnya kebanyakan orang Umno berfikiran seperti 50 tahun dulu. Iaitu zaman belum begitu ramai orang celek huruf, zaman orang luar bandar menonton filem menerusi tayangan wayang pacak hitam putih di tepi jalan oleh Jabatan Penerangan.
Zaman itu telah berlalu lima puluh tahun lalu atau lebih, zaman selepas Perang Jepun, zaman ramai orang Melayu yang percaya pada khurafat. Malangnya pemikiran zaman itu tidak banyak berubah dikebanyakan orang Umno.
Sebab itu jika kita mendengar beberapa perwakilan yang berucap di Perhimpunan Agung Umno di PWTC beberapa bulan lalu, kita mendapati ucapan mereka itu benar-benar ketinggalan zaman dengan cetusan faham perkauman yang sempit.
Ia menggambarkan Umno seperti berada di alam fantasi, zaman nenek kebayan – wanita tua bongkok, bertongkat, terketar-ketar - bercakap dengan Tun Mamat, wakil Sultan Melaka untuk meminang puteri Gunung Ledang.
Sedangkan alam realiti, ialah suasana di luar PWTC itu sendiri, dengan simpang siur lalu lintas, pusat membeli belah yang riuh rendah, orang ramai hilir mudik siang dan malam dengan keperluan masing-masing, syarikat dan bank-bank yang bergelut dengan urusan perniagaan dan kewangan dan pelbagai lagi.
Oleh itu, tentunya seruan tokoh Wanita Umno Kuantan itu adalah ‘lanjutan alam fantasi’ yang dibawa dari PWRC itu.
Di sinilah, menurut saya, sudah sampai masanya dan memang sangat perlu pelbagai pihak, terutamanya golongan intelektual dan agamawan serta kalangan tokoh NGO yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat supaya mengadakan dialog, malah pendidikan kepada orang Umno supaya berfikir sesuai dengan keadaan masa kini.
Islam yang kita pegang secara kukuh, dengan konsep mulia wasatiyyahnya – seimbang, pertengahan, menegakkan keadilan dan kesaksamaan dan sebagainya - boleh menjadi asas wahana yang penting untuk memberikan kesedaran kepada orang Umno. Bahawa Islam itu ialah agama yang berasaskan pemikiran, hujjah, bukan paksaan, bukan diasaskan kepada emosi dan pemikiran yang sempit.
Lebih dari itu, Islam menentang pemikiran dan sikap perkauman, justru hadis Nabi s.a.w. yang sangat kuat, mengungkapkan: “Bukan dari umatku mereka yang meneriakkan assobiyah (perkauman).”
Para agamawan yang berceramah baik di masjid, surau mahupun di kaca TV dan sebagainya, justeru boleh menghuraikan secara jelas akan maksud hadis ini, bukan saja kepada orang Umno, bahkan kepada siapa saja yang keliru dengan keluasan tawawuur Islam ini.
Sudah sampailah masanya segenap anggota masyarakat prihatin, khususnyan para agamawan, pemimpin NGO yang tidak menjadi pengampu, para pemimpin golongan muda, siswa-siswi yang prihatin dan rakyat yang merasa bertanggungjawab untuk tampil menjelaskan sejelas-jelasnya - dalam bahasa yang mudah difahami - mengenai tekanan hidup yang dihadapi oleh kebanyakan rakyat sekarang ini.
Masalahnya terutama berpunca dari kenaikan harga barang yang benar-benar menghimpit kehidupan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah.
Kita percaya, ada di kalangan penyokong biasa Umno sendiri yang merasakan kehidupan mereka sendiri tertekan dengan kenaikan harga barang ini.
Maknanya tiadak ada golongan yang terlepas dari hempetan kehidupan ini diakibatkan kenaikan tersebut, kecuali para pemimpin dan orang-orang besar, para tokoh korporat ternama, suku sakat kroni dan saudara mara yang hidup kaya raya, malah super kaya, bercuti dan shooping di luar negara dan membeli barangan berjenama.
Golongan elit yang hidup berwah-mewah ini tidak tersentuhpun dengan phenomena kenaikan harga barang ini. Tetapi yang amat tertekan ialah rakyat biasa, buruh dan nelayan dan rakyat berpendapatan rendah seluruhnya.
Inilah yang dibela dan diperjuankan oleh para NGO yang prihatin dan pendukung Pakatan Rakyat. Malangnya mereka inilah yang dicabar supaya ‘berambus’ keluar Malaysia jika tidak setuju dengan BN. Inilah wajah politik yang memulakan tahun 2014.http://bm.harakahdaily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.