Nazri
(dua, kiri) melihat Nik Aziz (tengah) menandatangani kalendar 2014 R
untuk dibida bagi sumbangan mangsa banjir di Kemamam, semalam.
KOTA BHARU – Empat keping kalendar yang ditandatangani Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob akan dilelong bagi membantu sumbangan untuk bantuan misi banjir di Kemaman.
Presiden badan bukan kerajaan (NGO) Royalti, Nazri Deraman berkata, dalam masa sama, pihaknya juga menyediakan kalendar 2014 tersebut kepada orang ramai yang menderma bagi tujuan yang sama.
“Kami tidak mengenakan sebarang bayaran namun atas ikhlas rakyat sebagai tanda prihatin kepada mangsa bencana banjir terutama di Kemaman, baru-baru ini.
“Bidaan yang bermula serendah RM500 itu juga adalah untuk tujuan yang sama dan untuk misi kelima. Kali ini, kami menghantar 20 aktivis R untuk menyampaikan bantuan tersebut ke Kemaman selepas majlis tandatangan berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian di Medan Ilmu, semalam.
Kalendar tersebut ditandatangani Nik Aziz dan Ahmad setelah selesai mengadakan kuliah Jumaat mingguan di sini, semalam.
Menurutnya, misi selama dua hari tersebut bertujuan meringankan beban mangsa dan pihaknya telah menyediakan pelbagai keperluan atas sumbangan orang ramai sebelum ini.
Beliau berkata, barangan tersebut berupa periuk nasi elektrik, pakaian dan beg sekolah, yang dibeli melalui sumbangan orang ramai terutama rakyat Kelantan yang dikumpulkan sejak dua minggu lalu.
“Majlis tandatangan kalendar ini juga sebagai simbolik perasmian pengedaran kalendar ke seluruh negeri selepas ini.
"Kami turut mengalu-alukan NGO negeri untuk turut sama menyumbang dan meringankan beban mangsa banjir,”katanya.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bank Pertubuhan R Kelantan 03120010000318 (Bank Islam) atau menghubungi pihak R untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.