Jumaat, 27 Disember 2013

Kerajaan minoriti tak mampu laksana manifestonya

Oleh Mahdzir Ibrahim

Janji BN Selangor sewaktu PRU-13 lalu. Macam kenal.


MANIFESTO dirancang untuk dilaksana dan seboleh-bolehnya dapat dicapai dalam jangka masa tertentu. Namun, pada peringkat awal pelaksanaan manifesto kerajaan minoriti UMNO/BN ini, kita dapat lihat suatu langkah yang sangat mengelirukan dan seakan menyimpang daripada maksud itu.

Adakah ini suatu perkara yang memang dirancang terlebih dahulu atau ia suatu perkara yang di luar kawalan kerajaan.

Jika ia memang dirancang maka ia mungkir janji kepada rakyat khususnya penyokong dan pengundi mereka sendiri, jika tidak, maka ini bermakna kerajaan UMNO/BN gagal menjangka masalah yang mengganggu pelaksanaan manifesto mereka sedangkan mereka mendakwa malah berkempen meminta rakyat memilih parti yang mempunyai berpengalaman berpuluh tahun mentadbir Malaysia.
Antara beberapa perkara dalam manifesto UMNO/BN yang menyimpang daripada rancangan asal seperti rancangan ‘Meningkatkan Kehidupan Warga Bandar’.

Persoalan utama, apakah dengan kenaikan petrol RON 95 sebanyak RM0.20, diikuti dengan pemansuhan subsidi gula, pengenaan cukai GST yang bakal dikenakan tidak lama lagi,
kemudian kenaikan tarif elektrik, kenaikan tol di kawasan Lembah Klang, malah yang terbaru, cukai pintu warga Kuala Lumpur dinaikkan secara mendadak, adakah semua ini bertujuan ‘Meningkatkan Kehidupan Warga Bandar’ seperti yang termaktub dalam manifesto UMNO/BN?

Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya dan kita merasa bahawa ini merupakan penipuan terang-terangan kerajaan minoriti UMNO/BN pimpinan Najib Tun Razak.

Malah ini juga boleh diibaratkan sebagai ‘penderaan atau hukuman’ kepada pengundi bandar yang tidak menyokong BN pada PRU-13 lalu.

Projek ‘Pembinaan Rumah Mampu Milik’ serta ‘Pemberian BR1M’ dalam manifesto BN juga tidak akan membawa apa-apa erti kerana kos sara hidup di bandar besar sudah amat tinggi. Segala manifesto ‘Menangani Kos Sara Hidup’ hanya menjadi slogan kosong dan projek gajah putih pentadbiran dan kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak.

Jika kita tinjau pula manifesto pendidikan UMNO BN iaitu ingin ‘Membina Kecemerlangan Pendidikan Negara’.

Kita dapat lihat bagaimana Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 yang dikeluarkan setakat ini meletakkan Malaysia di tangga ke-52 daripada 65 negara. Malah kementerian membelanjakan RM270 juta untuk mengupah firma perunding bagi membekalkan mentor bahasa Inggeris di sekolah, tetapi hasilnya amat tidak memuaskan. Apakah justifikasi kos yang dikeluarkan dengan cita-cita ‘Membina Kecemerlangan Pendidikan Negara’ berpadanan?

Kementerian seperti Kementerian Pelajaran merupakan antara kementerian yang mendapat peruntukan terbesar berbanding kementerian lain. Kita tertanya-tanya dan ingin sekali tahu, bagaimanakah kontrak rundingan terus ini dijalankan?

Sebagai contoh, menurut laporan daripada http://myprocurement.treasury.gov.my/index.php/en/list-
tender-rundingan-terus Kru Academy Sdn Bhd mendapat kontrak bernilai RM62,366,400 bersama-sama dengan Ranaco Marine Sdn Bhd secara rundingan terus.

Apakah kritiria penting untuk kontrak rundingan terus ini?

Apakah reputasi syarikat ini dalam melaksana projek yang diberi?

Jika memang firma atau syarikat ini layak dan mampu ‘Membina Kecemerlangan Pendidikan Negara’, kita tak akan persoalkan.

Selain daripada itu janji ‘Peluang Mendapat Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti’. Kes siling hospital runtuh terus berlarutan. Daripada siri ‘runtuhan’ ini, rakyat merasa amat sangsi dengan apa jua program kesihatan yang dirancang kerana usaha itu akan jadi sia-sia kerana keselamatan paling asas bagi pesakit atau pelanggan termasuk keselamatan kakitangan hospital terdedah dengan bahaya runtuhan siling.

Hari ini siling, kita tidak tahu apa lagi yang akan runtuh selepas ini. Hingga kini tidak nampak apakah tindakan konkrit daripada pihak kerajaan, yang ada hanya cakap-cakap nak baiki dan nak saman kontraktor.

Janji ‘Ke Arah Kecekapan Terhebat Pengangkutan Awam’. Masalah sistem pengangkutan di Malaysia hampir seusia dengan masalah sistem pendidikan. Penubuhan SPAD kelihatan masih lagi tidak mampu menyelesaikan masalah ini.

Sebagai contoh di Putrajaya sendiri, masalah tempat letak kenderaan sangat kritikal, baik untuk pelanggan dan kakitangan. Kawasan alternatif yang disediakan pula kebanyakan tidak sesuai, ada yang tidak terurus/teratur dan masih belum mencukupi. Ada beberapa kawasan di antara Kementerian Pelajaran dan Kesihatan, menggunakan kawasan yang dirizab untuk tempat berkumpul ketika kecemasan dan kawasan ini juga merupakan kawasan hijau.

Tetapi kini kawasan itu telah rosak kerana dijadikan tempat meletak kenderaan alternatif bagi kakitangan awam.

Selain itu, sistem pengangkutan awam di Putrajaya dan kawasan sekitarnya juga masih lemah. Masih ramai kakitangan awam menggunakan kenderaan peribadi untuk pergi dan pulang kerja.

Perkhidmatan bas ke Putrajaya dari kawasan sekitar seperti Kajang, Semenyih, Bangi, Nilai, Serdang, Puchong, Salak Tinggi, tidak ada.

Ini bukan sahaja menyukarkan kakitangan awam yang duduk di daerah yang berhampiran untuk menggunakannya, malah pelanggan juga tidak ada banyak pilihan kecuali menggunakan kenderaan peribadi untuk berurusan di Putrajaya.

Jadi, bagaimana cabaran sebegini mampu diatasi dan dijadikan contoh untuk menyelesaikan masalah sistem pengangkutan yang meliputi kawasan lain, yang lebih besar dan luas seperti Lembah Klang dan bandar utama di setiap negeri di Malaysia.

Begitu juga dengan manifesto ‘Pembangunan lnfrastruktur Bertaraf Dunia Dan Transformasi Luar Bandar’.

Seperti selalu kita dengar kempen politik dan pilihan raya UMNO/BN, akan sentiasa menggunakan agenda pembangunan seperti infrastruktur dan sebagainya, konon untuk memastikan semua rakyat mendapat nikmat pembangunan yang setara.

Tetapi sejak puluhan tahun, tahap pembangunan dan kemajuan kawasan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak masih terabai sedangkan negeri itu mempunyai hasil bumi yang besar.

Namun mujur, walaupun Pakatan Rakyat belum dapat memerintah di Putrajaya, DAP telah melaksanakan satu projek penting bersolidariti membantu masyarakat luar bandar di negeri itu dengan hasrat membantu komuniti mengecapi kemudahan asas yang menjadi hak mereka.

Impian Sarawak dan Impian Sabah dilancarkan dan kini dalam fasa pelaksanaan yang memfokus kepada bantuan pembinaan projek komuniti bersaiz kecil seperti pembinaan sistem pengairan untuk bekalan air bersih.

Sungguhpun saiz usaha ini kecil, tetapi ia menjadi bukti kesungguhan DAP untuk melaksana program pembangunan luar bandar. Tanpa kuasa dan dana besar, kita masih mampu menjayakannya. Ini bukanlah janji pilihan raya sepertimana janji manifesto kerajaan minoriti UMNO/BN, tetapi ini adalah pelaksanaan kerja pembangunan komuniti yang praktikal.

Kerja yang sedang kita laksanakan ini adalah persiapan kecil sebelum Pakatan Rakyat mengambilalih pemerintahan Malaysia daripada kerajaan minoriti yang lemah dalam melaksanakan manifestonya.-Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.