KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa supaya membatalkan penggantungan akhbar 'The Heat' serta memohon maaf secara terbuka kepada akhbar tersebut dan semua pengamal media.
Jawatankuasa Gerakan Media Marah(Geramm), Radzi Razak berkata perbuatan menggantung penerbitan akhbar disifatkan sebagai tidak releven dan boleh membawa mudarat kepada kemajuan negara.
" Masa depan negara harus ditunjangi dengan kebebasan media dan apabila kebebasan media dihalang maka secara tidak langsung suara rakyat juga akan terbatas.
" Geramm mengajak seramai mungkin pengamal media dan orang awam menyertai gerakan ini dan seterusnya membangkitkan isu pencabulan kebebasan media yang sedang berlaku sekarang." katanya ketika ditemui dalam Forum Awam 'Bebaskan Media' di ibu negara,semalam
Turut hadir sebagai panel dalam forum tersebut, Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas(CIJ) Masjaliza Hamzah dan wakil Wartawan Tanpa Sempadan Mohd Hata Wahari.
Sabtu lalu, 'The Heat' digantung penerbitan akibat mendedahkan laporan perbelanjaan tidak berhemah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.
Namun KDN menafikan perkara tersebut sebaliknya menjelaskan akbar 'The Heat' digantung penerbitan akibat tidak memaklumkan pertukaran pemilikan dan hala tuju daripada sebuah akhbar perniagaan kepada isu semasa.
Menurutnya, Geramm akan turut menganjurkan beberapa program awam menerusi kempen itu termasuk memakai baju merah pada setiap Jumaat ,menganjurkan forum kebebasan dan mengutip tandatangan petisyen yang akan diserahkan kepada KDN.
" Pada 4 Januari ini, Geramm akan menganjurkan Protes Pensel Merah sebagai tanda bantahan terhadap siri-siri pencabulan ke atas wartawan dan organisasi media" katanya.
Protes yang dijadualkan di sekitar jalanan di ibu negara itu akan menuntut kerajaan mendukung hak-hak kebebasan akhbar seperti memansuhkan permit penerbitan dan menyiasat semula insiden keganasan anggota polis terhadap pengamal media sewaktu perhimpunan bersih 3.0 yang lalu.
Sementara itu, Pengawai Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas(CIJ) Masjaliza Hamzah menyatakan janji Perdana Menteri untuk melahirkan sebuah negara berdemokrasi terutamanya dalam konteks penerbitan dan akhbar hanya sekadar retorik.
" Pindaan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak pada tahun 2012 yang dicanang sebagai pembaharuan oleh kerajaan dalam kebebasan media hanya sekadar kosmetik kerana kuasa pergantungan masih tertakluk kepada KDN.
" Dan ini yang terjadi kepada akhbar 'The Heat'. Kerana selepas setahun pindaan akta tersebut dilaksanakan yang mana sepatutnya akta tersebut menjadi lebih baik tetapi malangnya dimanipulasi dan 'The Heat' menjadi mangsanya." katanya
Ujarnya, walaupun akta tersebut telah memansuhkan keperluan pembaharuan lesen secara tahunan, namun kelulusan mendapatkan lesen dan pembatalan lesen masih dipegang oleh kementerian.
Beliau menegaskan sudah tiba masanya undang-undang ini dihapuskan bagi memberikan sepenuhnya kebebasan kepada media menyampaikan kebenaran yang dimahukan oleh rakyat.
Tuntutan Gerakan Media Marah(Geramm)
Kepada Kerajaan:
1. Tarik balik penggantungan akhbar mingguan The Heat dan benarkan ia beroperasi seperti biasa.
2. Siasat semula dengan rapi insiden keganasan anggota polis terhadap pengamal media sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 pada 2012
3. Mansuhkan permit penerbitan yang diwajibkan mengikut Akta Penerbitan Dan Mesin Cetak(PPPA) yang tidak releven lagi.
4. Membenarkan semua pengamal media membuat liputan di semua majlis kerajaan dan bangunan-bangunan awam
5. Memohon maaf kepada pengamal-pengamal media atas tindakan pencabulan hak kebebasan media selama ini.
Kepada parti politik:
6. Memberi akses yang sama rata kepada semua pengamal media tanpa pilih kasih,hadir untuk liputan berita dalam aktiviti atau sidang media masing-masing.
Kepada semua organisasi media dan wartawan:
7. Mengamalkan etika kewartawanan yang dianggap piawaian dunia, demi memberikan liputan berimbang dan adil kepada semua.
8. Mendukung semangat kebebasan,keadilan dan hak-hak asasi manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.