Khamis, 26 Disember 2013

Himpunan Turun: Polis cari CheGu Bard

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Sekumpulan anggota polis dilapor datang ke kediaman Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Che'GuBard (gambar) termasuk kediaman ibu bapanya di Bukit Chedang, Seremban pada tengah malam tadi, kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.

Menurut Edy, berdasarkan maklumat yang diterima daripada keluarga che'GuBard, seramai sembilan anggota polis beruniform dan berpakaian preman diketuai Inspektor Zaafar, hadir menaiki dua kereta dan satu van polis.

"Gagal mendapatkan che'GuBard yang ketika ini mempunyai urusan di luar negara, Inspektor Zaafar hanya meninggalkan nota untuk dihubungi.

"Apabila ditanya apakah tujuan kedatangan pihak polis, dan adakah ia berkenaan himpunan protes rakyat 31 Disember di Dataran Merdeka, Inspektor Zaafar tidak pasti tetapi menegaskan ia adalah arahan Bukit Aman untuk 'bertemu' che'GuBard," ujarnya.

Menurut Edy, walaupun pihak polis telah beredar, namun keluarga che'GuBard memaklumkan terdapat kenderaan dengan dua individu tidak dikenali berada tidak jauh dari kawasan rumah beliau.

Edy tidak menolak kemungkinan individu tersebut ialah anggota polis yang dalam usaha mencari che'GuBard.

"che'GuBard yang hanya pulang pada awal pagi esok memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi Inspektor Zaafar berdasarkan nota yang ditinggalkan sebaik sahaja tiba di dalam negara.

"Sebagai warga yang baik, che'GuBard akan hadir sendiri ke mana-mana balai polis jika diperlukan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.