Oleh Lim Hong Siang
CHUA Soi Lek secara rasminya berundur selaku Presiden MCA setelah saf pimpinan baru terpilih pada hujung minggu lalu. Untuk lebih dua dekad Chua menceburi arena politik, tetapi tidak banyak "legasi" yang ditinggalkannya sepanjang tiga tahun beliau menerajui tampuk kuasa tertinggi dalam MCA.
Barangkali Chua lebih dikenang dengan skandal seksnya, meskipun kebanyakan orang percaya bahawa VCD tersebut dirakam oleh musuh dalam selimutnya, sebagai senjata untuk menghalang kemaraan Chua ke atas tangga kuasa dalam MCA.
Ironinya, panah yang terkena pada tumit Chua ini gagal menamatkan hayat politiknya pada tahun 2008, sebaliknya beliau kembali dalam tempoh 10 bulan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden MCA. Beliau terus diserang dengan senjata yang sama oleh Ong Tee Keat, Presiden MCA ketika itu yang khuatir kedudukan dirinya diancam oleh Chua.
Akhirnya mereka yang mahu menghapuskan Chua, dihapuskan oleh Chua sebaliknya. Ong Ka Ting bersama Ong Tee Keat tewas dalam pertandingan tiga penjuru untuk jawatan Presiden dalam pemilihan semula MCA pada tahun 2010. Jelas, anda boleh menyindir Chua dengan skandalnya, tetapi anda terpaksa mengkagumi kecekalan dan kesungguhan Chua melawan sepanjang hayat politiknya.
Persoalannya, mengapa Chua boleh menang dalam pemilihan MCA, dalam situasi dirinya terpalit dengan skandal, tetapi gagal memimpin partinya untuk mencapai kemenangan dalam PRU13? Jawapan paling mudah untuk memperlekehkan MCA adalah kualiti pemimpin MCA ditentukan kualiti anggotanya.
Perwakilan MCA tidak lagi mewakili suara rakyat, sehingga pemimpin yang terpilih tidak mencerminkan aspirasi majoriti masyarakat Cina secara khususnya.
Namun, jawapan mudah dengan sekadar menyebut "skandal seks" tidak memberi gambaran sepenuhnya.
Kemenangan Chua dalam MCA memperlihatkan Chua seorang pemimpin yang bijak mengatur strateginya ketika bertempur di gelanggang MCA. Beliau memastikan dirinya memperolehi undi yang secukupnya daripada perwakilan untuk menang, tatkala calon yang lain sibuk untuk meraih populariti di kalangan masyarakat Cina dengan cubaan untuk menarik tumpuan media. Chua cukup sedar bahawa peraturannya direka sebegitu, dan percaturan strateginya tertumpu untuk mencapai kemenangan.
Tetapi mengapa pula MCA di bawah pimpinan Chua gagal dalam PRU13? Kerana Chua tidak sedar bahawa gelanggang telah berubah di luar MCA. Misalnya, Chua masih yakin bahawa serangan isu hudud mampu menyelamatkan MCA, kerana pengalaman PRU pada tahun 1999 dan 2004 membuktikan sedemikian. Chua seolah-olah tidak peka dengan isu politik baru yang semakin hangat bahangnya, contohnya Lynas, Bersih, Teoh Beng Hock dan sebagainya.
Maka beliau mengitar semula retorik lama, misalnya menekankan "kestabilan" ketika berdepan dengan suara bantahan masyarakat Cina. Chua terlupa bahawa huru-hara tidak berlaku selepas 8 Mac 2008, lantas hilang mujarabnya ugutan sebegini di kalangan masyarakat Cina.
Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, malah mempunyai pengalaman yang terharu sepanjang penyertaan dalam aktiviti perhimpunan.
Keberanian dan ketegasan Chua dalam sesetengah aspek dipuji, contohnya beliau berani menyahut cabaran untuk berdebat dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Malah Chua berani mempertaruhkan nasib MCA dengan mengugut untuk tidak masuk Kabinet seandainya prestasi MCA lebih teruk daripada apa yang tercapai dalam PRU12. Namun, keberanian sahaja tidak membawa MCA ke mana-mana. Ketika ditemu bual Malaysiakini, pengamat politik, Phoon Wing Keong berkata, seandainya Chua memiliki keberanian dan ketegasan yang setimpal untuk menarik diri (MCA) daripada Barisan Nasional pada saat-saat yang genting, supaya sistem dua parti direalisasikan, sudah tentu makna sejarah yang dibawa Chua dan MCA akan berbeza.
Kesilapan terbesar Chua adalah kegagalan beliau untuk mara ke depan sejajar dengan langkah perubahan politik. Beliau mengandaikan dirinya boleh meraih sokongan masyarakat Cina, sebagaimana beliau meraih sokongan perwakilan MCA.
Maka beliau cuba mengulangi formula yang sama, misalnya menakut-nakutkan masyarakat Cina dengan isu hudud, sedangkan masyarakat Cina cukup sedar bahawa isu hudud bukan tumpuan, sebaliknya isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, jurang kaya-miskin, pencabulan kebebasan dan demokrasi dan sebagainya, lebih penting daripada isu yang cuba dimainkan MCA
di bawah pimpinan Chua. Iktibarnya, pemimpin politik perlu peka terhadap perubahan persekitarannya. Formula untuk menang yang berkesan pada 10 tahun yang lalu, tidak semestinya memberi kesan yang sama selepas 10 tahun. Isu yang mungkin dirasakan paling penting di kalangan puak anda, tidak semestinya sama penting untuk orang lain.
Jikalau dikupas selanjutnya, pengulangan formula untuk menang, atau kitaran semula isu basi barangkali juga disebabkan ketandusan idea. Ia mungkin berkaitan dengan kemalasan politikus untuk berfikir, atau kebodohan yang membataskan perspektifnya. Seseorang pemimpin politik bukan sekadar respons kepada isu, tetapi merungkai apa yang terjadi pada zamannya. Beliau perlu tahu ke manakah halatuju parti yang dipimpinnya, dan masyarakat apakah yang mahu dibentuknya pada masa depan.
Jelas, Chua gagal memberi jawapan untuk dua persoalan di atas, lantas tidak banyak yang ditinggalkannya untuk MCA. Pengundurannya sudah tentu memberi makna lebih daripada "bahan sindiran" semata-mata, tetapi juga sebagai iktibar untuk semua pemimpin politik di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.