Jumaat, 1 November 2013

Zainuddin Maidin jadikan Azizan Razak sebagai bahan kempen

MSO


Wah.. arwah Azizan Razak benar-benar berharga dan bernilai. Harganya lebih mahal semasa beliau mati berbanding semasa hayatnya. Alangkah baiknya kalau semua orang mengikhtiraf bekas MB Kedah sepenggal itu semasa beliau hidup daripada semasa beliau telah tiada. Manusia ini selalu terlepas bas dan mulai merasai kehebatan seseoarng itu selepas ianya sudah tidak ada?

Zainuddin Maidin
Pas sudah pastilah menjadikan Azizan Razak sebagai ikon mereka kerana Azizan Razak adalah MB pertama kerajaan Pas di Kedah. Walaupun Fadzil Noor (Almarhum) lebih layak menjadi ikon dan pencucuh api perjuangan Pas di Kedah, tetapi Azizan lebih bernasib baik sebab beliau sempat menjadi MB.

Wajar bagi Pas menggunakan (bangkit) jasa dan bakti Azizan sebagai bahan kempen dalam pilihan raya kecil Sungai Limau yang sedang berlangsung kini. Selain dia MB Kedah, dia juga bekas Adun di kawasan yang kini diadakan pilihan raya kecil itu.

Tetapi apa yang aneh Umno juga turut menjadi Azizan sebagai modal kempen. Umno juga mahu 'syufaat' Azizan Razak untuk menang. Umno memuji-muji Azizan Razak sebagai pemimpin terbuka atau membawa stail berlainan dengan pemimpin Pas lain. Mereka (UBN) menghargai Azizan sebagai MB.

Memuji Azizan ini (saya percaya tidak ikhlas dan sebagai cara 'mengikan sepilarkan' Pas tetapi tidak disedari oleh Azizan dan Pas sendiri) ialah Mahathir Mohamad. Mahathir pernah memuji kepimpinan Azizan lebih baik dan lebih berkesan berbanding dengan pemimpin Umno sendiri hatta dengan bekas MB Kedah sebelum itu. Tidak hairan kalau Mahathir memuji Azizan sebab dia ada kepentingan-kepentingan tertentu di Kedah. Udang di sebalik batu dalam pujian Mahathir inilah yang tidak disedari oleh sesetengah orang Pas Kedah.

Projek Mahathir banyak di Langkawi di mana Langkawi adalah sebahagian wilayah Kedah. Tentu Mahathir mahu sesuatu dari kerajaan Kedah. Pujian itu juga bagi dijadikan benteng untuk menyelamatkan anaknya, Mukhriz dari diserangan Pas atau Azizan Razak. Hari ini kepentingan Mahathir itu telah tercapai dan pujian beliau kepada Azizan telah berbaloi. Mukhriz telah menjadi MB menggantikan Azizan Razak. Hari ini Mahathir memerintah Kedah menerusi kuasa anaknya.

Kita tidak hairan dengan telatah dan galagat Mahathir itu. Tetapi hari ini apabila Zainuddin Maidin juga memuji Azizan Razak ia amat mengejutkan. Bila masa orang kenal Zainuddin Maidin ini boleh menerima orang Pas atau mempunyai persepsi baik terhadap Pas. Bukankah orang ini yang menuduh Abdul Hadi sebagai 'Nabi' menyebabkan majikan tempatnya berkerja disaman Hadi? Dan tidakkah Abdul Hadi itu presiden kepada parti Azizan Razak?

Selama beliau memimpin Utusan Malaysia orang Paslah yang menjadi mangsa Zainuddin Maidin. Zainuddin melihat Pas seperti hantu jerongkong. Semasa menjadi menteri penerangan dialah membuat agenda, rancangan khas melanyak kerajaan Pas Kelantan. Tetapi hari ini bila dia puji Azizan Razak mengejutkan seolah Zainuddin baru tersedar dari mimpi yang tertidur di jerami kering. Zainuddin hanya mengambil kisah kehadiran Azizan ke majlis perlancaran buku seorang ulamak sebagai alasan untuk memuji Azizan dan melihat perbezaan arwah. Itu sahaja. Mudah Zainuddin menilai atau menerima kebaikan Azizan.

Apakah beliau mengasingkan di antara Azizan sebagai individu dengan sebagai ahli Pas? Apakah kesudian Allahyarham Azizan melancaran buku berjudul; Haji Abdul Rahman Merbok, Azizan telah menanggalkan baju Pas. Tidakkah dia hadir itu sebagai MB Kedah, dan MB itu adalah MB kerajaan Pas dan Pakatan Kedah? Azizan pula hadir atas hubungan beliau dengan Haji Abdul Rahman kerana dia adalah guru bapanya.

Nampak sangat Zainuddin mencari-cari sebab untuk memuji Azizan dengan tujuan menarik pengundi agar mengundi calon UBN. Atau bagi menggambarkan calon Pas hari ini tidak seidea Azizan maka ia perlu ditolak. Apakah dengan insiden kecil itu pengundi akan terpesona dengan Zainuddin Maidin dan akan memberi undi kepada calon BN? Oh, rasanya tak segampang itu.

Itu sebab saya katakan Azizan Razak dinilai begitu tinggi selepas beliau tidak ada sampai orang macam Zainuddin yang bermusuh 'mak anak' dengan Pas pun dapat memuji Azizan sebagai seorang pemimpin yang lain dengan pemimpin Pas yang lain. Zainuddin menyifatkan Azizan sebagai ulamk yang bukan jumud. Apakah erti kata-kata itu, mungkin dia menyifatkan ulamak lain adalah jumud. Bukankah apabila dia menganggap pemimpin lain sebagai jumud ia menghina Pas, menghina parti Azizan Razak juga? Saya tidak jamin keterbukaan munafik Zainuddin itu akan berlaku kalau Azizan Razak masih hidup.

Cara pemikiran Zainuddin ini ternyata tidak pernah berubah baik semasa beliau menjadi ketua pengarang Utusan Melayu, menjadi menteri penerangan dan setelah tidak menjadi menteri dan kini 'pekebun anggur'. Adakah dia patut dalam memuji Azizan beliau memberi ingatan orang Pas agar jangan undi Pas kerana kalau undi Pas bermakna undi Anwarisme? Inilah kesongsangan dan keganjilan akal fikir tokoh wartawan negara ini.

Manipulasi Zainuddin dengan kisah itu juga menyerlahkan kebencian beliau kepada Anwar Ibrahim. Beliau dikenal sebagai seorang yang cemburu dan sakit hati dengan Anwar Ibrahim.

Katanya kalau pengundi mengundi Pas bermakna mengundi Anwarisme kerana dia mengira Pas Kedah hari ini dikuasai oleh golongan Anwarisme. Terlalu rendah jangkau fikir politik Zainuddin dan terlalu murah dan remeh.

Mungkin dalam pemahaman politik Zainuddin, bahawa Azizan Razak bermusuh dengan Anwar. Inilah menyebabkan dia berkata demikian. Soal ketidak-hadiran Anwar melawat Azizan semasa sakit dihospital dijadikan isu dan dijadikan sandaran untuk mengiyakan tanggapan jahatnya. Inilah saya katakan bentuk (kejahatan akal fikir) Zainuddin Maidin tidak pernah berubah. Zainuddin melihat apa yang berlaku dalam tempoh dua tiga hari ini dan tidak mengkaji apa yang dilakukan oleh kedua mereka lama sebelum ini. Semua pemerhati politik bersetuju kemenangan Pas (Azizah) itu adalah persapakatan dalam Pakatan Rakyat. Macam mana beliau boleh dilantik menjadi ketua pengarang sebuah akhbar arus perdana (PB) kalau tahap pemikirannya tahap 'ibu congkak' sahaja.

Kesongsangan cara beliau berfikir di sini jelas. Satu masa beliau memuji Azizan sebagai pemimpin yang lain dari yang lain dan dalam masa sama melarang orang Pas mengundi calon Pas yang bakal menjadi pengganti Azizan sebagai undi Anwarisme. Zainuddin tidak dapat memahami atau pun terlupa bahawa di antara Azizan dengan Anwar itu perkara berbeza. Azizan adalah Pas, Anwar bukan Pas hanya rakan kepada Pas.

Jadi cara Zainuddin memuji Azizan cuba mengelirukan pengundi. Cara Zainuddin berkempen hendak menggunakan badan tubuh Azizan Razak itu menjelaskan keterdesakan tukang-tukang kempen Umno. Mereka sudah tidak ada modal lagi dan secara tidak langsung hilang kepercayaan kepada tokoh dewa mereka Mahathir Mohamad. Orang seperti Zainuddin sepatutnya membuat anologi kalau undi BN bermakan undi Mahathir. Bukankah Mahathir adalah dewa bagi sesetengah orang Umno dan Zainuddin sendiri yang menulis buku "Mahathir di sebalik tabir"?

Meletakkan undi Pas sebagai undi Anwar, secara sedar atau tidak cara Zainddin menghina Mahathir Mohamad tokoh Umno nombor satu di Kedah. Apa lagi yang memimpin Kedah hari ini adalah putera politik Mahathir, Mukhir bin Mahathir. Jelas fikiran Zainuddin sudah sesat di hujung jalan. Dang cerita-cerita klasik begitu sudah tidak menghiburkan rakyat moden hari ini lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.