KUALA LUMPUR: Satu perkara yang mungkin Tan Sri Khalid Ibrahim perlu mengambil perhatian ialah, beliau tidak boleh memberikan equation Selangor dengan negeri Sarawak seperti yang disebutkan sebagai alasan untuk kenaikan gaji.
“Perlu kita ingat, Sarawak itu tidak sama tahapnya dengan mana-mana negeri di Semenanjung ini, kerana Sarawak adalah sebuah negeri yang menganggotai Persekutuan Malaysia yang ditanda tangani pada 1963 dahulu,” tulis Aspan Alias di dalam blognya, semalam.
Menurutnya, Sabah dan Sarawak adalah negeri-negeri yang setaraf dengan keseluruhan Persekutuan Tanah Melayu.
Beliau menjelaskan, dalam perjanjian itu Persekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Tunku Abdul Rahman sedang Sarawak dan Sabah masing-masing diwakili oleh seorang wakil bagi negeri tersebut.
“Sarawak dan Sabah tidak sama tarafnya dengan Perlis dan Kedah atau pun Selangor. Ramai yang masih belum memahami isu ini,” jelasnya lagi.
Tambahnya, ahli-ahli Kabinet Sarawak dan Sabah itu sama tarafnya dengan kedudukan kabinet Persekutuan.
Berikut tulisan penuh beliau.
Selangor dalam Persekutuan Tanah Melayu (PTM) dan PTM dengan Perjanjian Persekutuan Malaysia
Sedikit tambahan kepada apa yang saya komen tentang kenaikan gaji Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaannya (Exco). Sesungguhnya apa yang di lakukan oleh TS Khalid Ibrahim merupakan fenomena baru yang sejajar dengan kehendak kemajuan sesebuah negeri yang mengutamakan ‘productivity’. Jika di singkap siapa Khalid ini, beliau merupakan seorang yang terlatih dengan kerja ber 'productivity' dan siapa boleh menyangkal hakikat ini sesuka hati semahu masing-masing. Ia tetap hakikat yang hakiki.
Imbuhan adalah faktor penting dalam usaha sebuah kerajaan atau mana-mana organisasi kerajaan untuk mendapatkan 'productivity' yang baik. Itu sebabnya di dalam badan-badan swasta dan syarikat swasta imbuhan terhadap kakitangan dan pegawai pengurusan itu adalah satu elemen terpenting untuk di tumpukan oleh seorang Ketua Eksekutif dan seseorang Ketua Eksekutif yang baik akan melakukan penilaian yang khusus tentang isu ini.
Keuntungan syarikat dan kerajaan bukan sahaja datangnya dari kepandaian dan kepintaran pegawai dan kakitangan pertubuhan itu tetapi ia juga akan didasarkan kepada kos pengurusan yang sentiasa bertambah dari masa ke semasa.
Dalam hal Negeri Selangor ini, pimpinan Persekutuan tidak boleh membantah sebegitu sahaja, kerana Negeri Selangor adalah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu dan perjanjian itu masih kekal sampai ke hari ini.
Sebagai sebuah negeri yang berdaulat yang mempunyai 'legislature'nya sendiri, kerajaan Selangor boleh membuat keputusan sendiri kerana negeri ini adalah salah sebuah negeri yang memberikan sumbangan kepada kedaulatan kerajaan Persekutuan. Tiada kedaulatan persekutuan jika tidak ada persekutuan yang dianggotai oleh semua negeri yang berada di dalam Persekutuan Tanah Melayu itu.
Jika ada pun isu terhadap keputusan kerajaan negeri pimpinan Khalid ini yang perlu diperbetulkan adalah kecil sahaja kerana kenaikan perbelanjaan itu adalah wajar memandangkan masa dan zaman ini kos pentadbiran dan perkhidmatan amat tinggi. Pandangan Anwar dan Azmin itu ada juga benarnya tetapi ia bukanlah satu isu yang boleh dianggap Khalid telah melakukan kesalahan besar.
Kenaikan itu wajar dan perlu. Anwar kata ia terlalu tinggi dan tidak ‘commensurate’ dengan tugasan dan tanggungjawab mereka yang mendapat habuan kenaikan ini. Apabila naik sahaja gaji seseorang eksekutif itu ia akan menambah tanggungan kerajaan dengan begitu besar terutamanya semasa mereka ini bersara melalui pembayaran setengah gaji yang terakhir sebagai bayaran pencen mereka sepanjang hayat mereka.
Boleh dianggap satu faktor penting dalam membuat penilaian ini, tetapi seperti yang saya sebut dalam posting yang lepas untuk mengelakkan pembayaran yang terlalu tinggi semasa persaraan mereka kerajaan pimpinan Khalid ini mungkin boleh membayar apa yang disebut sebagai ‘ex-gratia’ atau bonus apabila tahun negeri itu menunjukkan prestasi yang tinggi.
Bonus itu mungkin dalam bentuk setahun gaji bulanan atau mana-mana kaedah yang tidak akan membebankan rakyat semasa keadaan ekonomi negeri tidak berapa memuaskan. Kita perlu ingat menurunkan gaji dalam ekonomi negeri dalam keadaan tidak berapa baik itu adalah langkah yang amat susah untuk dilakukan. Ia tidak sesenang menaikan gaji itu.
Bukan senang untuk memberikan pandangan dalam isu kenaikan gaji di Selangor ini kerana negeri ini nampak jelas mempunyai Ketua Kerajaan yang serius mencari jalan untuk memperkokohkan kedudukan kewangan negeri ini. Negeri yang maju dan telus mengendalikan wang rakyat sememangnya susah untuk membuat kritikan besar terhadap Khalid. Jika semua anggota kerajaan negeri ini telah bekerja keras untuk memantap tahap dan kedudukan ekonominya ia sememangnya wajar mendapat imbuhan galakan itu.
Tetapi isu yang sedang dihadapi oleh pimpinan PKR tentang isu kenaikan gaji ini merupakan hasil dari ‘productivity’ yang baik. Seperti yang saya sebut semalam berjaya pun mungkin mambawa masalah. Agaknya tentulah negeri-negeri yang kurang ‘productivity’ lebih bermasalah. Masalah yang dihadapi Selangor ini adalah masalah yang baru….itu masalah kerana kejayaan.
Oh ya, satu perkara yang mungkin TS Khalid perlu mengambil perhatian ialah, beliau tidak boleh memberikan ‘equation’ Selangor dengan negeri Sarawak seperti yang beliau sebutkan sebagai alasan untuk kenaikan gaji ini.
Perlu kita ingat, Sarawak itu tidak sama tahapnya dengan mana-mana negeri di Semenanjung ini, kerana Sarawak adalah sebuah negeri yang menganggotai Persekutuan Malaysia yang ditanda tangani pada 1963 dahulu.
Sabah dan Sarawak adalah negeri-negeri yang setaraf dengan keseluruhan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam perjanjian itu Persekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Tunku Abdul Rahman sedang Sarawak dan Sabah masing-masing diwakili oleh seorang wakil bagi negeri tersebut.
Sarawak dan Sabah tidak sama tarafnya dengan Perlis dan Kedah atau pun Selangor. Ramai yang masih belum memahami isu ini. Ahli-Ahli kabinet Sarawak dan Sabah itu sama tarafnya dengan kedudukan kabinet Persekutuan.
Itu terkandung dalam Perjanjian Malaysia dahulu. Sambil bercakap tentang kesetiaan dan cintakan negara elok kita kenali negara yang kita cintai ini.
Di Kota Kinabalu hari ini pada jam 3 petang satu Forum tentang Perjanjian Malaysia diadakan. Forum ini akan memberikan pencerahan tentang penubuhan Malaysia bukan setakat memeterikan perjanjian tetapi akan disebut tentang roh penubuhannya sekali.
Diharapkan YBM Tengku Razaleigh yang akan berucap nanti akan memberikan pencerahan keseluruhannya agar pemimpin-pemimpin kedua-dua Malaysia Timor dan Malaysia Barat menghayati keunggulan Persekutuan ini di wujudkan.
Forum ini mendapat perhatian masyarakat insaf tempatan dan masyarakat antarabangsa. Di harap tiada apa yang tidak akan di sebut dalam forum ini agar rakyat ramai dapat pencerahan sebenarnya terutamanya pemimpin-pemimpin yang sebelum ini tidak mengenali negara yang mereka pimpin ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.