PUTRAJAYA: Saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan diteruskan dengan perbicaraan
di Mahkamah Tinggi.
Ini
susulan keputusan sebulat suara panel lima anggota Mahkamah Persekutuan
hari ini, menolak permohonan Khairy bagi kebenaran untuk merayu ke
Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak
permohonannya untuk membatalkan saman sivil itu yang difailkan
terhadapnya.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang
mempengerusikan panel itu berkata, kebenaran tidak boleh diberikan
kepada Khairy untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan kerana beliau gagal
memenuhi syarat utama Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Beliau berkata, persoalan yang dikemukakan untuk ditentukan Mahkamah
Persekutuan tidak berbangkit daripada penghakiman mahkamah lebih rendah.
Hakim Zulkefli memerintahkan Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan membayar RM15,000 sebagai kos perundangan kepada Anwar.
Turut bersidang ialah empat Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi
Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk
Seri Abu Samah Nordin.
Pada
7 Mac, 2008, Anwar, 66, memfailkan tindakan undang-undang terhadap
Khairy, mendakwanya sebagai Ketua Pemuda Umno mengeluarkan kenyataan
memfitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat'
dimuat naik dalam laman web termasuk Malaysiakini.com.
Ketua Pembangkang itu mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com
mengandungi perkataan memfitnah yang diucapkan Khairy pada satu ceramah
di Lembah Pantai di Kuala Lumpur pada atau sekitar 20 Februari 2008.
Khairy, dalam pernyataan pembelaannya difailkan pada 8 Oktober 2010,
berkata beliau bergantung kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan
bersyarat.
Pada 21 Disember, 2011, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Khairy untuk membatalkan saman fitnah itu.
Khairy memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah
Persekutuan selepas beliau gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada
8 Ogos tahun lalu.
Peguam yang mewakili Anwar, Datuk Sulaiman Abdullah memberitahu
pemberita, Mahkamah Tinggi menetapkan Khamis dan Jumaat ini bagi
perbicaraan saman itu.
Khairy diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.