Selasa, 26 November 2013

Pinjaman wang : Petani perlu bayar dalam bentuk hasil

Oleh : Lizawati Madfa


SHAH ALAM  : Kerajaan negeri akan memberikan bantuan secara pinjaman wang kepada petani yang perlu dibayar semula dalam bentuk hasil, menjelang 2014.

Exco Pertanian, Sallehen Mukhyi, berkata langkah itu diambil bagi membentuk sahsiah diri petani yang berdisiplin, tekun dan serius dalam perusahaan pertanian yang diceburi.

pc agrofest dan pc belia perkahwinan - 3

“Contohnya, pihak yang terima pinjaman perlu membayar jumlah hasil pada masa ia dikeluarkan sehingga mencapai tahap jumlah nilai yang dipinjam.

“Hal ini kerana, kita tidak mahu lagi dengar berita kurang baik seperti sebelum ini iaitu apabila bagi bantuan anak ayam, tetapi tidak sempat jejak ke tanah dan kita beri enjin bot, dijualnya pula,” katanya.

Beliau berkata demikian di Sidang Dewan Negeri Selangor bagi menjawab soalan berkenaan rancangan meningkatkan hasil pertanian di Selangor.

Sallehen (PAS-Sabak) berkata, kerajaan negeri juga kini dalam pertimbangan untuk mengusahakan tanah terbiar bagi memperoleh hasil seperti yang dicapai tahun lalu iaitu RM 45,500.

“Namun terdapat masalah apabila tanah itu adalah milik individu. Kita harap pihak jabatan pertanian akan mengadakan perbincangan dengan individu terbabit supaya tanah terbiar itu dapat diusahakan secara maksimum melalui usahasama,” katanya.

Mengulas perusahaan tanah simpanan milik Telekom dan Keretapi Tanah Melayu (KTM), Sallehen menjelaskan setiap pengusaha yang berminat perlu melakukan perbincangan terus dengan syarikat bertanggungjawab.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan memberikan kelulusan, peruntukan dan bantuan kepada pengusaha yang tidak mendapatkan kebenaran pihak syarikat terlebih dahulu.-NFN-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.