Khairy Ahrasa
KUALA LUMPUR - "Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi". Itulah yang terjadi kepada pemilik sebuah kedai emas di pusat beli-belah KL Festival, Setapak di sini apabila pengawal keselamatan yang diupah menyamun kedai itu hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisoner Khairy Ahrasa berkata dalam kejadian 9 pagi itu, suspek yang lengkap beruniform bertindak mengacukan senjata api kepada empat pekerja premis berkenaan sebelum melarikan satu dulang berisi kira-kira 100 utas rantai leher.
Beliau berkata kejadian yang mengambil masa kira-kira lima minit itu terjadi semasa pekerja premis berkenaan sedang melakukan kerja menyusun atur barang kemas sebelum suspek datang dan mengarahkan pekerja tersebut menyerahkan dulang berisi barang kemas.
"Polis sedang menyiasat sama ada pengawal keselamatan tersebut melarikan diri dengan motosikal ataupun ada rakannya yang sudah menunggu di luar pusat membeli-belah itu.
"Kita akan teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terlebih dahulu," katanya kepada pemberita.
Khairy berkata polis sedang menjalankan gerakan besar-besaran bagi mengesan suspek yang berusia 26 tahun dan dipercayai berasal dari Sabah.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek baru bertugas sebagai pengawal keselamatan di premis itu selama sebulan.
Pihak polis sedang menyiasat latar belakang suspek serta rekodnya sebagai pengawal keselamatan dan sama ada dia mempunyai rekod jenayah lampau, katanya.
"Kita akan semak dengan syarikat keselamatan yang mengupah suspek bekerja dan kita akan siasat senjata api yang digunakan suspek sama ada milik dia ataupun dibekalkan oleh syarikat keselamatan," katanya.
Kes itu berlaku susulan kejadian seorang pengawal keselamatan menembak mati seorang pegawai wanita sebuah bank di Subang Jaya pada 23 Oktober lalu dan melarikan wang RM450,000. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.