Semalam Najib bercakap tentang
rukun patriotisma dan salah satu dari rukun itu ialah rakyat mesti membayar
cukai. Beliau berkata negara perlukan wang untuk mentadbir negara. Negara perlu
membina jalanraya, dan perlu membina sekolah dan banyak lagi keperluan lain dan
sumbernya tidak ada yang lain dari mengutip cukai dari rakyat. Itu sebabnya
kita perkenalkan GST, kata beliau.
Kita hendak bertanya kepada PM
Najib, siapa yang tidak mahu di cukai? Selama ini rakyat membayar cukai kepada
kerajaan untuk menampung perbelanjaan pengurusan rakyat. Dari dulu sehingga
sekarang semua orang membayar cukai. Saya yang sudah tidak bergiat dan bekerja
lagi pun membayar cukai. Dari RM38 dari pembelian rokok sahaja saya membayar lebih
dari RM22 sehari. Itu dari pembelian rokok sahaja saya membayar cukai jualan
setiap hari. Belum lagi cukai-cukai yang lain.
PM Najib tidak payah memberitahu
rakyat yang mengelak dari pembayaran cukai itu adalah tindakan tidak patriotik
kepada negara. Itu semua orang tahu. Tetapi yang rakyat ingin tahu pula adakah
orang dan pemimpin yang rasuah itu juga tidak patriotik kepada negara.
Tidakkah melakukan rasuah itu
bukan sahaja tidak patriotik kepada negara malahan agama kita menyamakannya
sebagai orang yang memakan daging saudaranya sendiri. Ia bukan sahaja
bertentangan dan tidak patriotik kepada negara malahan ia adalah perlanggaran
secara ‘head-on’ terhadap Tuhan Maha Esa.
Kenapa Najib tidak menyebut isu
itu? Tidakkah membenarkan ahli keluarga kita berbelanja harta rakyat secara
boros itu juga adalah sama dengan orang yang memakan harta anak yatim. Apa
patriotiknya jika kita membiarkan isteri kita berbelanja wang rakyat seperti
berbelanja wang mak bapak kita sendiri?
Jelasnya Najib hanya pandai
bercakap seperti seorang pahlawan tetapi beliau tidak lebih dari seorang
pahlawan tepuk. PM Najib sedang cuba
untuk memaparkan ‘muka poker’ nya dalam berbicara tetapi apa yang tersembunyi
di dalam dirinya tidak dapat lagi di lindungi dari pandangan rakyat.
Rakyat tidak pernah mengelak dari
membayar cukai tetapi rakyat tidak mahu cukai yang di bayar kepada kantung
kerajaan itu di punah-ranahkan oleh keluarga pemimpin yang sedang berkuasa. Ingat,
wang cukai yang rakyat bayar dari titik peluh mereka itu perlu di jaga dan di
belanjakan dengan baik. Rakyat bukannya mahukan cukai yang mereka bayar itu di
bazirkan untuk memenuhi ‘glamour’ ahli keluarga pemimpin termasuk ahli keluarga
Perdana Menteri sendiri.
Seorang pemimpin yang baik perlu
ada rasa malu dan rasa bersalah jika membelanjakan wang rakyat dengan tidak
berhemah. Seperti PM Najib menasihatkan rakyat supaya hidup secara wasatiyah,
kini rakyat ingin memberitahu supaya PM sendiri mengamalkan perbelanjaan secara
wasatiyah juga? Sampai bila PM kita ini
hendak menggunakan orang lain untuk melindungi kerja yang tidak betul ini.
Takkanlah hendak menggunakan
Shahidan Kassim setiap kali rakyat terjumpa salah laku pemimpin kita di Jabatan
Perdana Menteri itu? Kita juga sedar dalam UMNO sememangnya ramai manusia
seperti Shahidan itu tetapi adil kah jika PM berselindung di sebalik orang
seperti ini?
Apakah fungsi Shahidan Kassim
dalam kabinet itu sebenarnya? Apa pula fungsi semua ahli-ahli jemaah kabinet
kerajaan sekarang ini? Kenapa Muhyiddin tidak berbunyi langsung suaranya?
Begitu juga ahli kabinet yang lain. Tidakkah mereka semua sedar bahawa segala
tindakan mereka adalah tindakan secara ‘collective’? Jika Rosmah membelanjakan
wang rakyat secara boros, tidak kah semua ahli kabinet itu turut
bertanggungjawab sama?
Isu berbelanja besar ini bukannya
isu kecil dan rakyat terpaksa terlibat untuk mempastikan perkara-perkara
seperti ini tidak terus-terusan di lakukan tanpa sebarang perasaan bersalah.
Rakyat sudah terlalu lama
bersabar dengan sikap dan budaya buruk untuk negara yang cuba di bina
dalam poltik negara kita. Setiap pemimpin tidak kira parti dan agama, dan
setiap wilayah dan negeri perlu bersatu untuk bersama-sama menjadikan
perjuangan ini seperti perjuangan jihad bagi menyelamatkan negara dan bangsa
kita di negara ini.
Kita pilih seorang pemimpin yang
mempunyai kalibar dan berjiwa rakyat yang sebenarnya serta tidak terlibat
dengan kegiatan membina kekayaan dan membina ‘empire’ kaum keluarga sambil
membelanjakan wang rakyat tanpa perasaan malu dan silu.
Seseorang terpaksa bercakap. Oleh
kerana tiada yang bercakap secara terbuka dan berani maka saya terpaksa
bercakap sebagai ‘ordinary citizen’ untuk memastikan semua rakyat sedar tentang
kecelaruan kepimpinan kerana sikap dan sifat yang sangat tidak berguna untuk
negara.
Saya selalu bercakap melalui blog
ini yang negara kita terpaksa melakukan transformasi yang sebenarnya dengan
memulakan susunan baru dalam siasah dan politik negara. Kita mulakan sebuah
negara baru dengan ‘ambience’ politik baru semata-mata untuk kepentingan negara
dan rakyat dan generasi yang akan datang.
Kita tinggalkan jasa ini kepada
anak-anak cucu kita tanpa was-was. Percayalah dan yakinlah, jika di izin Tuhan
kita semua akan selamat dengan negara yang terhindar dari kerja kerja hina yang
tidak berkesudahan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.