KUALA LUMPUR - Mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-67 MIC yang dijadual berlangsung hujung minggu ini berazam menggembleng semangat anggota perwakilan dan pemimpin akar umbi untuk membawa parti itu kembali ke era kegemilangannya.
Presiden parti Datuk Seri G. Palanivel berikrar menyempurnakan tugas yang telah beliau mulakan dan kini memerlukan barisan pemimpin yang lebih mantap serta strategi lebih ampuh untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah dicatat MIC suatu ketika dulu.
Esok, fokus masyarakat India di negara ini akan betumpu pada pertandingan lapan penjuru bagi memilih tiga naib presiden MIC. Di samping itu, lebih 1,400 anggota perwakilan juga akan memilih 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti berkenaan.
Pemimpin yang dipilih ini kelak diharapkan mampu memperbaiki kehidupan 1.8 juta anggota masyarakat India di negara ini dan mengukuhkan lagi kedudukan MIC sepanjang tiga tahun akan datang.
Pertandingan bagi jawatan naib presiden dijangka menjadi tumpuan utama kerana ia akan menyaksikan dua penyandang dicabar enam tokoh terkenal, yang masing-masing memiliki rekod cemerlang dan penyokong tersendiri.
Dua penyandang berkenaan ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan dan Speaker Dewan Udangan Negeri Perak Datuk Seri S. K. Devamany.
Calon lain ialah bekas Naib Presiden Datuk S. Sothinathan, dua bekas Ketua Pemuda iaitu Datuk S. A. Vigneswaran dan Datuk T. Mohan, Ketua MIC Bahagian Johor Baharu Datuk S. Balakrishnan, Bendahari parti Datuk Jaspal Singh dan C. Selvaraja.
Sebanyak 88 orang, termasuk dua calon wanita, akan merebut kerusi CWC.
Seorang penganalisis politik berkata masyarakat India akan mengikuti dengan teliti proses pemilihan itu melalui rangkaian media sosial seperti Twitter dan Facebook.
Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata orang ramai tentunya tidak sabar untuk mengetahui keputusan pemilihan kali ini kerana ia merupakan barisan pertama pemimpin diterajui Palanivel.
"Pasukan ini mestilah dapat bekerja dengan Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam untuk menterjemahkan bantuan yang diberi kerajaan kepada masyarakat India," katanya kepada Bernama hari ini bagi mengulas tentang AGM MIC itu yang akan berlangsung di Melaka.
Beliau berkata jumlah begitu banyak calon yang bertanding pada pemilihan kali ini menunjukkan bahawa demokrasi terus subur dalam MIC dan kini terpulang kepada anggota perwakilan untuk memilih pemimpin yang mampu membawa manfaat kepada parti itu.
"AGM ini sendiri perlu memberi fokus terhadap usaha membawa perubahan terhadap MIC agar parti ini kembali mendapat kepercayaan masyarakat India dan terus relevan serta berjaya menangani semua masalah mendesak yang dihadapi masyarakat ini," katanya.
Seorang lagi penganalisis politik, Anbumani Balan, berkata MIC memerlukan gandingan pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda untuk bertindak dengan penuh keberanian dan kesungguhan dalam menangani keperluan masyarakat India secara lebih berkesan dan penuh strategik.
"Kami memerlukan lebih ramai pemimpin muda dan dinamik, yang boleh menjadi model peranan bagi menarik kumpulan Gen Y, yang masih ragu-ragu tentang MIC.
"Pemimpin ini juga perlu menggubal dasar terbaik untuk memastikan masyarakat India akan menikmati masa depan yang lebih baik, terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi," kata ketua penerangan MIC Wilayah Persekutuan ini.
Beliau berkata tugas berat menanti Palanivel dan pasukannya untuk mengembalikan era kegemilangan MIC dan memastikan parti itu terus relevan bagi kaum India.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.