Jumaat, 29 November 2013

MCA Sasar Tarik Sokongan 50 Peratus Pengundi Muda Cina Menjelang PRU-14

 MSTAR ONLINE
 
 
Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha (kanan) berkata sesuatu kepada Pengerusi MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew (tengah) dan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri)selepas menyampaikan ucapan perasmian konvensyen MCA Kedah ke-36 di Alor Setar, Jumaat. -foto 
G.C.TAN / THE STAR 
 
 
ALOR SETAR: MCA mensasarkan menarik sokongan sehingga 50 peratus pengundi muda Cina daripada jangkaan kira-kira tiga juta golongan muda yang layak mengundi buat pertama kalinya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha berkata Pergerakan Pemuda parti diberi tanggungjawab dan peranan melaksanakan misi penting itu.

Katanya Pergerakan Pemuda yang sebelum ini banyak memberi tumpuan pada pendidikan wajar memperbanyak aktiviti untuk memenuhi kehendak golongan muda yang mahu jaminan mendapat pekerjaan, peluang perniagaan dan sebagainya.

Beliau berkata MCA perlu mendapat sokongan tidak kurang 30 peratus pengundi muda Cina dalam tempoh empat tahun mulai sekarang daripada jangkaan dua hingga tiga juta yang layak pengundi buat pertama kalinya pada PRU14 kelak.

"Pengundi muda ini sangat penting kerana mereka bakal menentukan kemenangan calon dan masa depan MCA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen MCA Kedah ke-36 di sini, Jumaat.

Kong berkata cabaran MCA sebenarnya adalah DAP yang didakwanya berjaya memutarbelitkan banyak perkara dan mengelirukan pengundi Cina melalui slogan mereka 'ubah' untuk menukar kerajaan sejak lima tahun lepas.

"Hakikatnya DAP gagal menukar kerajaan. Undi yang diberi sebenarnya adalah untuk (kepentingan) diri mereka (calon), bukan untuk rakyat. Ini meletakkan pengundi Cina dalam situasi tidak menentu dan menyebabkan pemimpin Cina berada di luar kerajaan," katanya.

Beliau berharap momentum positif sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau pada 4 November lepas berterusan namun tempoh tiga tahun dari sekarang adalah sangat kritikal bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 'membetulkan' pemikiran mereka.

Katanya pelbagai manfaat menerusi peruntukan untuk rakyat pelbagai kaum dalam Bajet 2014 masih sukar untuk menilai sokongan kaum Cina terhadap kerajaan BN pimpinan Najib.

"Kita perlu lihat Bajet 2015 dan Bajet 2016, baru dapat lihat arah sokongan pengundi Cina dengan lebih jelas. Tempoh tiga tahun ini sangat penting untuk mengubah dan menetapkan pemikiran kaum Cina," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.