Oleh Azmir Hj Mustafa
Belum pun lagi mencapai tempoh setahun dalam pembentukan kerajaan Malaysia selepas pilihanraya umum ke 13, warga Kuala Lumpur telah dikejutkan dengan satu lagi ‘bala’ yang diberikan oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional, iaitu dengan kenaikan cukai pintu sebanyak 300 peratus.
Solidariti Anak Muda Malaysia Wilayah Persekutuan (SAMM Wilayah) membantah sekeras-kerasnya akan kenaikan cukai ini secara mendadak dan tidak masuk akal. Warga kota hidupnya penuh kesempitan, ditambah pula dengan kenaikan harga petrol, kenaikan harga barang-barang keperluan harian, namun kerajaan terus menghukum rakyat yang menolak mereka.
SAMM menyifatkan tindakkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan cukai pintu sebanyak 300 peratus adalah satu siri balas dendam terhadap warga Kuala Lumpur kerana hampir semua parlimen kekal di tangan pembangkang sedangkan kerajaan telah ‘melabur’ dengan jumlah yang besar menjelang PRU-13.
Adalah diingatkan bahawa pihak Datuk Bandar dan DBKL tidak wajar sewenang-wenangnya menaikkan cukai pintu. Apakah benar ia rasional hanya kerana untuk menaikkan nilai hartanah di Kuala Lumpur?
Sedangkan sebelum ini nilai harta tanah di Kuala Lumpur sememangnya telah meningkat tanpa kenaikkan cukai taksiran.
Pendapatan DBKL juga dilihat cukup besar jumlahnya dan tetap meningkat walaupun cukai taksiran berada pada kadar yang sama selama 21 tahun. Peningkatan jumlah pendapatan sebanyak RM511 juta kepada RM 1.69 billion dari tahun 2010 adalah cukup memberangsangkan, ia tanpa kenaikkan cukai pintu.
Malah DBKL turut menyatakan dalam buku Bajet 2013 bahawa prestasi hasil ini akan meningkat bagi tahun kewangan 2012. Tidak cukupkah sumbangan warga kota setakat hari ini?
Justeru, SAMM melihat cadangan DBKL untuk menaikkan cukai taksiran 300% adalah keterlaluan dan hasrat seperti ini harus dilupakan.
Sebaliknya DBKL harus menumpukan usaha penuh bagi mengutip hasil-hasil yang tertunggak seperti tunggakan cukai taksiran, tunggakan sewa perumahan dan sewaan gerai penjaja. Kenaikan kadar cukai pintu yang tidak seimbang dengan prestasi keselamatan dan perkhidmatan yang ala kadar adalah satu bentuk penganiayaan.
Ternyata, Menteri Wilayah cuba menyembunyikan tindakan khianat mereka atas nama ‘pembangunan’. Tidak ada satu pun alasan yang boleh mewajarkan tindakan kerajaan untuk menaikkan harga cukai pintu terhadap rakyat di mana-mana wilayah sekalipun.
Bagi SAMM, sebelum bercakap tentang pembangunan, kerajaan perlu terlebih dahulu membangunkan nilai amanah dalam pentadbiran dan pengurusan dana negara yang semakin tiris
Sekali lagi SAMM Wilayah mencabar kerajaan agar berhenti menghkianati rakyat! Perlu diingat, tidak ada kenaikan cukai tanpa pilihanraya kerajaan tempatan. Wang cukai juga dibazirkan tanpa pertanggungjawapan kepada rakyat.
Hentikan kenaikan cukai pintu atau rakyat tidak akan teragak-agak menghumban DBKL keluar dari ‘pintu’ pentadbiran!
* Azmir ialah Penyelaras Negeri Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.